KEMBALI membuat penampilan selepas berehat panjang, pengacara Jihan Muse mengakui teruja diberikan kepercayaan untuk mengemudikan Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 12 Februari depan.

Bakal mengacarakan acara muzik berprestij tanah air itu bersama Sherry AlHadad, Jihan berkata, peluang tersebut adalah di luar jangkaannya dan ia adalah kali pertama dalam kerjayanya sebagai pengacara.

“Saya sangat terkejut ketika dihubungi pihak TV3 kerana ini adalah kali pertama mendapat tawaran mengendalikan AJL.

“Baru nak kembali aktif setelah setahun bercuti dan tiba-tiba dapat tawaran hebat begini. Saya anggap ia sebagai rezeki anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menyifatkan tawaran tersebut datang pada waktu tepat, Jihan berharap dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Ungkapnya lagi, selepas melahirkan cahaya mata kedua pada September lalu, dia mahu memberi fokus kepada anak terlebih dahulu sebelum kembali bekerja.

“Saya memang merancang untuk kembali bekerja pada bulan Januari ini. Usia Anak pun sudah masuk empat bulan dan saya kira ia adalah waktu yang sesuai.

“Jadi tawaran sebagai hos AJL ini memang datang pada waktu tepat, malah sebagai pembuka langkah saya untuk membuat penampilan semula.

“Lagipun ia tidak memerlukan komitmen yang panjang dan memudahkan saya untuk menguruskan masa untuk anak dan keluarga,” ujarnya.

Momentum

Dalam pada itu, Jihan yang ditemui pada sidang akhbar AJL37 di Petaling Jaya Performing Arts Centre, Petaling Jaya baru-baru ini mengakui memerlukan sedikit masa untuk membina semula momentumnya sebagai hos, setelah lama berehat.

“Bila lama sangat berehat, saya tak nafikan ada sedikit kerisauan bila nak kembali bekerja. Banyak perkara yang berubah mengikut peredaran masa. Semua benda bergerak pantas.

“Setelah setahun tidak bekerja, saya bimbang kalau tak dapat kejar trend terkini yang mungkin banyak yang saya sudah ketinggalan sebelum ini.

Iklan

“Dah masuk tahun baharu, semua benda pun baharu. Jadi memang kena ambil masa sedikit untuk sesuaikan diri dan berada di trek yang sepatutnya,” katanya yang sentiasa merendah diri.

Ditanyakan adakah selepas bergelar ibu kepada dua anak, dia akan lebih memilih tawaran, Jihan yang cukup sinonim dengan program Gegar Vaganza itu mempunyai pandangannya sendiri.

Tidak menafikan keutamaannya kini kepada keluarga, tetapi dia tetap akan mencari peluang baharu untuk terus mengembangkan kerjaya seninya.

Iklan

“Bila sudah bergelar ibu kepada dua anak, keutamaan saya memang pada keluarga. Namun jika tawaran yang datang itu tidak mengganggu komitmen saya pada rumah tangga saya tidak ada masalah.

“Bagaimanapun dalam masa sama, saya sentiasa mencari peluang baharu untuk cuba sesuatu yang tidak pernah saya buat sebelum ini, seperti AJL,” tegasnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.