Tiada perkara melibatkan hati dan perasaan - Haris Ismail ulas gosip dengan Neelofa

A
A
A

PENDAKWAH bebas bebas dan pelakon, Haris Ismail meluahkan rasa syukur apabila kini pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19.

Kembali sibuk di lokasi penggambaran, Haris atau nama penuhnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 25, bagaimanapun mengakui sentiasa berjaga-jaga dan memastikan dirinya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan sebaiknya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Menurut Haris, dia kini sudah sihat sepenuhnya dan kini kembali menjalani rutin kerjayanya sebagai pendakwah, pelajar dan pelakon.

“Alhamdulillah, selepas pulih daripada Covid-19, saya dah kembali bekerja seperti biasa di mana baru-baru ini saya tampil menerusi drama Pelindung Seorang Puteri, selain aktiviti promosi untuk filem pertama lakonan saya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD).

“Mohon doakan agar kita semua terus sihat dan bebas daripada jangkitan tersebut. Semoga ALLAH sembuhkan saya selamanya daripada wabak ini,” katanya kepada Sinar Plus.

Dalam pada itu, Haris yang ditemui selepas tayangan perdana filem AADD yang berlangsung di mmCineplexes, Damansara, Isnin lalu, berkata, cukuplah sekali sahaja dia melalui pengalaman menjadi pesakit Covid-19 pada April lalu.

“Sakit satu hal, tetapi apa yang lebih menakutkan apabila emosi dan mental juga terganggu kerana macam-macam yang bermain di fikiran ketika itu.

“Seksa bila kena melalui semua itu seorang diri dan kalau boleh tak nak berdepan pengalaman serupa lagi.

“Semoga ALLAH ampunkan dosa-dosa saya,” luahnya.

Dalam perkembangan lain, Haris yang juga merupakan bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) musim keempat itu kini sedang menjalani latihan praktikal sebagai guru di salah sebuah sekolah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Haris yang bakal menamatkan pengajiannya dalam bidang undang-undang di peringkat Ijazah Sarjana Muda di sebuah universiti awam itu berkata, dia gembira berpeluang menjadi tenaga pengajar dan berkongsi ilmu dengan ramai orang.

“Saya seronok menjadi cikgu dan berkongsi ilmu dengan anak murid. Orang yang baik ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.

“Saya tidak ada masalah dengan karenah atau usikan para pelajar terutamanya pada hari pertama bergelar cikgu di sekolah tersebut kerana menganggap itu sebagai lumrah.

“Soal kacak tampan itu tidak membawa ke manapun kerana bukan perhatian yang saya cari,” akuinya.

Mengulas gosip mengaitkan dirinya dengan pengacara popular, Neelofa, yang sedang hangat diperkatakan, Haris menegaskan hubungan mereka hanya atas dasar kerja.

“Saya dah jelaskan sebelum ini dan konsisten dengan jawapan itu. Saya minta maaf kalau orang mahukan jawapan yang saya tak boleh bagi.

“Hubungan kami hanyalah atas dasar kerja dan saya sebenarnya sudah lama menjalinkan kerjasama dengan Lofa menerusi pelbagai program.

“Saya tak rasa ada perkara lain yang lebih penting daripada itu dan berharap hanya anggapan yang baik-baik sahaja yang disebutkan.

Tambah Haris, dia langsung tidak terganggu dengan usikan yang diberikan netizen yang mengharapkan dia dan Neelofa mempunyai hubungan istimewa.

“Netizen nak kata apa pun, saya tak boleh nak cakap apalah. Kita tak ada kuasa nak kawal apa yang diperkatakan netizen.

“Apa yang pasti, saya sedang berusaha buat perkara baik untuk akhirat saya.

“Sekali lagi saya tegaskan, urusan kami hanyalah berkaitan kerja dan dakwah. Tiada perkara-perkara yang melibatkan hati dan perasaan,” katanya yang mengakui masih berstatus solo.

 

(FOTO: Instagram Haris Ismail & Neelofa)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca