PENYANYI popular Indonesia, Raisa meminta netizen berhenti mengecam Nabil Ahmad susulan isu viral berkenaan gurauan pengacara tersebut ketika konsert mingguan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada Ahad lalu.

Menurut pemilik nama sebenar Raisa Andriana itu, dia sedikitpun tidak berkecil hati dengan apa yang berlaku dan menganggap ia hanya gurauan semata-mata.

Apatah lagi penyanyi Mantan Terindah itu mengakui dia sebenarnya tidak dapat menangkap apa yang diperkatakan Nabil ketika itu.

“Jangan marah Nabil, kasihan. Sebenarnya kejadian itu berlaku sangat pantas, malah saya sendiri tidak sedar apa yang diperkatakan Nabil kerana dia bercakap dengan laju.

“Keesokan paginya saya bertemu dia lagi di konti radio Era dan saya tidak ingat langsung tentang perkara di konsert itu,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Raisa: Live In Malaysia pada Selasa.

Pada konsert minggu kelapan GV9 itu, selebriti berusia 32 tahun tersebut hadir sebagai juri jemputan dan menggunakan bahasa Inggeris ketika memberikan komen pertamanya kepada penyanyi Hazrul Nizam.

Nabil secara spontan mengambil momen tersebut untuk mengusik Raisa dan memeriahkan suasana konsert.

Iklan

“Sejujurnya saya takut tersalah cakap jika menggunakan bahasa Indonesia kerana ia mungkin mempunyai maksud yang berbeza di Malaysia.

“Jadi saya fikir adalah lebih baik menggunakan bahasa Inggeris kerana konteksnya akan lebih tepat dan maksudnya sama. Itu saja.

Iklan

“Bagaimanapun selepas kru produksi memberitahu tidak ada masalah untuk saya bercakap dalam bahasa Indonesia, barulah saya menggunakan bahasa Indonesia,” jelasnya.

Raisa bakal tampil menjayakan konsert Raisa Live In Malaysia di Zepp KL pada 20 November depan. Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.hitmanlive.com