BERIKUTAN notis tuntutan maaf yang dikeluarkan tidak dipenuhi, penyanyi Siti Nordiana bakal memfailkan saman terhadap lima individu termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura selewat-lewatnya 2 Ogos depan.

Menurut Siti Nordiana atau Nana, 37, tindakan tersebut terpaksa diambil selepas tempoh 24 jam diberikan pada pihak terbabit tidak dipenuhi.

“Memandangkan tiada permohonan maaf setelah tamatnya tempoh 24 jam tersebut, Nana telah mengarahkan peguam Nana untuk meneruskan dengan tindakan saman terhadap kelima-lima individu tersebut yang akan difailkan selewat-lewatnya pada Isnin depan (2 Ogos).

“Nana telah melantik firma guaman, Tetuan Abang Azlan & Associates bagi tindakan undang-undang,” katanya.

Tambah penyanyi Angkara itu lagi, dia meneruskan tindakan undang-undang itu bagi membersihkan nama dan reputasinya yang tercalar disebabkan kenyataan negatif yang dilemparkan kepadanya menerusi sesia siaran langsung di Instagram baru-baru ini.

“Nana terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej Nana yang telah dicalarkan oleh kenyataan-kenyatan sedemikian sama ada secara langsung atau tidak langsung akibat daripada siaran IG Live tersebut.” katanya.

Iklan

Terdahulu pada 20 Julai lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan satu insiden melibatkan Lan Solo dan isterinya, Sheila Razlan, Syura, Sam Samin dan Aida G yang mengendalikan satu siaran langsung di Instagram yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berbaur fitnah terhadap Nana.

Iklan

Susulan itu, atas nasihat peguam, Nana membuat satu laporan polis berbentuk penafian di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras pada 23 Julai dan seterusnya membuat kenyataan media bagi menjelaskan perkara sebenar pada umum.

Diikuti dengan penyerahan notis Notis Tuntutan Permohonan Maaf kepada kelima-lima individu tersebut pada 26 Julai yang antara lain menuntut permohonan maaf dalam tempoh 24 jam.