RATU Rock Ella membuktikan aura luar biasa yang dimilikinya apabila julaan tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, pada 10 Jun depan habis terjual dalam tempoh 24 jam.

Tiket konsert istimewa bersempena 35 tahun pembabitannya dalam industri seni itu mula dijual pada Isnin lalu sekitar jam 12 tengahari. Dalam tempoh dua jam, ia telah telah terjual sebanyak 50 peratus (%).

Pihak penganjur Hitman Solutions dan RockQueen bagaimanapun terpaksa mengambil langkah untuk menghentikan jualan sementara kerana lebih dari 25,000 orang telah beratur di laman web mengakibatkan proses pembelian menjadi tergendala.

Namun, pihak penganjur berjaya menyelesaikan masalah tersebut dan penjualan disambung semula pada jam 5 petang. Situasi tersebut ternyata tidak mematahkan semangat peminat untuk terus mencuba membeli tiket konsert.

Pada jam 7 malam, 90% tiket terjual dan selebihnya hanya tinggal kategori Rockzone. Secara rasminya tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota habis terjual pada jam 12 tengahari keesokkan harinya, 24 jam selepas jualan bermula.

Teruja

Terharu dengan sokongan padu yang diberikan peminat, Ella mengakui teruja untuk memberikan persembahan terbaik apda konsert yang cukup istimewa buatnya itu.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan, RockQueen dan juga rakan penganjur, Hitman Solutions dalam menjayakan konsert ini. Saya sangat teruja, berbangga dan bersyukur dengan hasil jualan yang luar biasa ini.

“Terima kasih kepada semua peminat dari seluruh pelusuk dunia, terutamanya dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga Brunei atas semangat mereka yang ingin bersama saya meraikan konsert ini.

“Saya tidak sabar untuk berikan yang terbaik pada semua, semoga peminat dapat mendoakan kesihatan kesemua pihak yang terlibat agar acara ini menjadi memori yang wajar dikenang,” ujarnya.

Iklan

Pada konsert tersebut, Ella bakal menyanyikan seleksi lagu-lagu hitnya sepanjang aktif dalam industri muzik tanah air termasuk Standing In The Eyes Of The World, Sembilu, Baldu Biru, Retak dan banyak lagi lagu yang telah menaikkan namanya sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, perkembangan positif itu jelas menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi peminat yang teruja mahu menyaksikan Ella beraksi.

“Tiket konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota sold out dalam masa 24 jam sahaja, sekali gus memecahkan rekod baharu dalam penjualan tiket bagi artis Malaysia yang pernah dianjurkan di Axiata Arena.

Iklan

“Kejayaan ini membuktikan bahawa betapa hebatnya peminat-peminat Ella dan saya kagum dengan kesungguhan mereka yang tidak berputus asa untuk mendapatkan tiket konsert. Ternyata Ella adalah ratu rock negara yang tiada tolok bandingnya,” katanya yang turut tidak sabar untuk menyaksikan konsert terbabit.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.