PROGRAM terbitan TV Al-Hijrah, Akademi Qurra’ melabuhkan tirainya dengan menobatkan Tilmiz Fahmi sebagai johan pada pentas akhir yang bersiaran pada Sabtu lalu.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan peserta asal Negeri Sembilan itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.

Tilmiz Fahmi Muhamad Nurfahmi Zainal, 23, mengakui tidak menjangka kemenangan tersebut disebabkan saingan sengit daripada rakan peserta lain.

“Saya memang tidak jangka akan membawa gelaran johan Akademi Qurra’ musim pertama. Bagaimanapun dengan kemenangan ini saya mahu memperluaskan lagi pengetahuan al-Quran kepada mereka di luar sana.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga dan mereka yang di sekeliling saya. Selain itu pihak produksi Akademi Qurra’ selama lapan minggu ini banyak memberi tumpuan kepada tahap kesihatan peserta. Bagi saya suara yang sedap adalah melalui tubuh badan yang sihat,” ujarnya.

Tilmiz Fahmi meraikan kemenangan bersama kedua-dua ibu bapa.

Mengulas tentang wang kemenangan yang dimenangi, Tilmiz Fahmi yang mengenali ilmu bertarannum seawal umur enam tahun itu memberitahu akan menggunakan wang kemenangan bagi membantu anak-anak muda di luar sana dalam menguasai al-Quran.

“Wang kemenangan ini akan diberikan kepada ibu bapa dan selebihnya akan saya gunakan dalam membantu anak-anak muda di luar sana.

“Lebih mulia apabila kita juga akan bertemu dengan bulan Ramadan tidak lama lagi,” kata anak bongsu daripada enam adik beradik itu lagi.

Sementara itu, Tilmizah Nooraini atau Nooraini Abdullah, 40, diumum sebagai naib johan yang membawa pulang hadiah RM15,000, manakala Tilmizah Maghfirah atau Nik Maghfirah Nik Abd Rahman Zaki, 19, mendapat tempat ketiga yang akan membawa pulang hadiah RM10,000.

Diikuti Tilmiz Zuhdi atau Muhammad Nur Zuhdi Mohd Daud, 25, dan Tilmiz Akasyah atau Muhammad Akasyah Md Yunos, 18, yang masing-masing akur pada kedudukan keempat dan kelima.

Sambutan baik

Melihat peningkatan prestasi peserta sebagai elemen penting dalam pertandingan tersebut, juri tetap Akademi Qurra’ Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, secara keseluruhannya markah yang diperoleh peserta pada pentas akhir cukup mengejutkan.

“Ada peserta yang dianggap boleh mendapat markah tertinggi namun gagal diterjemahkan dan sebenarnya inilah realiti sebuah pertandingan.

“Dalam tempoh beberapa minit yang diberi itu adalah medan mereka untuk dinilai. Sepanjang lapan minggu ini masih ada peserta yang gagal menguasai tajwid dan kemahiran mengolah tarannum dengan baik,” katanya.

Barisan juri pentas akhir Akademi Qurra’.

Melihat sambutan yang baik terhadap program yang julung kali diadakan itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata, pihaknya tidak menolak ada pembaharuan yang akan dibuat dalam memastikan program tersebut kekal relevan untuk tempoh panjang.

Iklan

“Dari minggu pertama kita melihat peningkatan tontonan. Apa yang boleh saya katakan penonton sendiri suka melihat perubahan ditunjukkan peserta.

“Malah saya jangka Akademi Qurra’ boleh menjadi antara program yang mendapat rating tertinggi terbitan TV AlHijrah.

“Bagaimanapun kami akan terus berbincang dalam mendapatkan maklum balas untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Pastinya dengan sambutan yang diterima program ini akan kembali lagi untuk musim kedua,” jelasnya.

Iklan

Program Akademi Qurra’ dihoskan oleh Fakhrul UNIC, disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap yang terdiri daripada Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu.

Sementara itu Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Soufizah Mousin.

Pentas akhir program tersebut turut dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.