PELAKON Fazreen Rafi berkongsi berita gembira apabila isterinya Syarifah Marlina Ashikin, 37, selamat melahirkan cahaya mata mereka yang kelima.

Menurut bintang Titian Takdir itu, mereka menimang anak perempuan seberat 2.8 kilogram pada jam 12.01 tengah malam, pada Isnin.

Fazreen juga dalam masa sama meluahkan rasa penghargaan terhadap isteri tercinta yang sebelum ini beberapa kali berdepan dengan ujian keguguran.

“Malam tadi bila lihat perjuangan, pegelutan, pengorbanan isteri yang melahirkan zuriat terasa keinsafan dalam diri, rasa nak bagi dunia pada dia, tak nak lukakan hati dia, tak nak dia kecewa dengan sikap kita.

“Tetapi itulah kita ini iman senipis kulit bawang. Sekejap sahaja keinsafan, lama sikit lupalah.

“Apa pun Faz akan buat yang terbaik untuk isteri dan keluarga.

Iklan

“Jauhkan la daku dari godaan-godaan yang ada di luar, yang paling penting, Faz akan sentiasa ingat dan hargai segala pengorbanan mu isteri. Balik nanti saya ada kejutan untuk awak,” coretnya sambil berseloroh di akaun Instagram miliknya.

Pada 2021, Fazreen, 38, memaklumkan isterinya mengalami keguguran ketika usia kandungan 10 minggu.

Iklan

Sebelum itu, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2011 itu pernah diuji dengan dua kali keguguran sebelum membuat keputusan mengambil anak angkat, Mohd Rizqin Qayyum, 11 tahun.

Fazreen pernah secara berseloroh mengimpikan 10 orang cahaya mata.

Selain itu, mereka turut dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Mohd Rizqin Quwais, 9; Rizqeen Humaira, 8; dan Mohd Rizqin Haqq, 5.