PENYANYI dan pelakon, Anas Ridzuan berkongsi berita gembira selamat menimang cahaya mata ketiga apabila isterinya, Ana Syuhada selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada 21 Oktober lalu.

Menerusi perkongsian yang dilakukan di laman Instagram miliknya pada Jumaat, bintang filem Air Force: Selagi Bernyawa itu turut mengumumkan nama permata hati dia dan isteri.

“Minggu yang penat, panjang dan rumit buat saya dan Ana. Tapi seberapa letih dan lesu ia perlu diraikan dan berita baik harus dihebahkan.

“21 Oct jam 3 petang, lahir seorang lagi anak lelaki selepas Anugerah dan Kurnia yang kami namakannya Nadi bin Anas. Alhamdulillah ibu dan anak sihat. Selamat datang, Nadi,” ujar Anas.

Kehidupan Anas dan isteri meriah dengan kehadiran tiga hero lelaki.

Tambah Anas, 33, anak ketiganya itu lahir sehari sebelum sambutan ulang tahun perkahwinan dia dan isteri yang keenam.

“Nadi lahir sehari sebelum hari ulang tahun perkahwinan kami pada 22 Oktober, hadiah anniversary paling hebat dan lumayan untuk kami,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Anas yang juga aktif di pentas teater memohon maaf kepada beberapa pihak kerana tidak dapat memenuhi tawaran berlakon buat ketika ini kerana mahu meluangkan masa menjaga isteri dan anak yang baru dilahirkan.

“Maaf kepada beberapa pihak tak dapat memenuhi undangan berlakon penghujung Oktober ini.

Iklan

“Maklumlah jaga isteri pantang tapi November kosong lagi beberapa tarikh. Harap doa kalian untuk kesejahteraan keluarga kami. Terima kasih,” katanya.

Anas dan isteri yang juga merupakan bekas peserta Mentor, mendirikan rumah tangga pada 22 Oktober 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Anugerah, 4, dan Kurnia, 3.