PELAKON Sherie Merlis merayu orang ramai untuk membantunya mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu keluarganya yang terperangkap di dalam rumah, apabila adik perempuannya positif Covid-19.

Menurut Sherie, 48, apa yang membuatkan dia buntu apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta adiknya pulang ke rumah dalam keadaan positif Covid-19, sedangkan di rumah mereka turut dihuni 10 ahli keluarga lain, termasuk ibu bapanya yang sakit dan bayi berusia 10 bulan.

“Saya jarang buat siaran langsung di Instagram atau media sosial, tapi kali ini saya buat bersebab. Saya dah buntu dan tak tahu nak buat macam mana lagi bila dalam keadaan macam ini.

“Tiga hari lepas adik perempuan saya demam dan dia pergi klinik kerajaan untuk membuat pemeriksaan dan ujian calitan. Dia disahkan positif Covid-19, tetapi apa yang peliknya dia diminta balik ke rumah.

“Kebetulan saya memang berada di rumah dia bersama dua anak disebabkan tak dapat balik di rumah saya sebelum ini. Rumah ini juga ada ibu dan bapa saya, empat anak saudara serta suami adik.

“Bapa saya sakit jantung dan baru keluar hospital, manakala ibu pula menghidap alzheimer dan hanya terlantar atas katil,” ujarnya yang terperangkap di rumah adiknya berikutan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Apa yang merisaukan Sherie, rumah tersebut yang hanya mempunyai dua bilik dan dihuni ramai anggota keluarga itu menyukarkan proses untuk adiknya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Apatah lagi apabila suami adiknya itu juga menunjukkan simpton demam panas hari ini, selain anak saudaranya yang berusia empat tahun mula mengadu sakit tekak.

“KKM ada hubungi dia tanya keadaaan dan janji akan datang secepat mungkin untuk melakukan ujian calitan kepada anggota keluarga lain di rumah kerana dikhuatiri turut dijangkiti.

“Bagaimanapun, esoknya mereka tak datang dan memaklumkan kami kena tunggu sehingga hari isnin. Memang tak masuk akal nak tunggu Isnin.

“Saya hubungi KKM sendiri dan tanya apa patut saya buat. Sekurang-kurangnya bagitahu saya apa patut buat dengan ahli keluarga lain yang terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas yang kurang sihat dalam rumah ni,” katanya.

Iklan

Apa yang lebih menyedihkan, kata Sherie, dia bimbang sekiranya berlaku sesuatu ke atasnya, siapa lagi yang boleh diharap untuk menguruskan ahli keluarganya di rumah itu.

“Kalau saya sakit, siapa yang nak jaga budak-budak ni. Ada enam orang budak dan juga ibu bapa saya yang uzur. Siapa yang nak ambil kisah pasal mereka. Hanya saya seorang sahaja yang sihat dalam rumah ini untuk uruskan mereka semua.

“Saya nak tanya sesiapa yang tahu dan dapat tolong saya, selain daripada KKM, siapa lagi yang boleh saya rujuk untuk tolong ambil adik saya kuarantin bersama anaknya yang masih menyusu badan.

Iklan

“Sesiapa yang tengok video ini, tolonglah saya. Saya tidak tahu nak buat apa. Tolong bagitahu saya apa patut saya buat selain daripada kuarantin adik saya di bilik.

“Saya cuba buat yang terbaik untuk uruskan anak-anak dan anak saudara bersama kedua ibu bapa saya dalam satu bilik,” katanya dalam suara bergetar menahan sebak.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sherie Merlis (@sheriemerlis)