TOM akhirnya meninggalkan pentas pentas Gegar Vaganza 9 (GV9), apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu ketujuh yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Pada minggu yang mengangkat tema Merentas Masa Kencang Selamanya, Tom menyampaikan lagu Akhirnya Kini Pasti nyanyian asal Anita Sarawak.

Bagaimanapun persembahan tersebut kurang memikat hati juri dan sekali lagi meletakkan Tom di kedudukan terbawah apabila mendapat markah paling rendah dengan markah 55.20 peratus (%).

“Saya akui memang ada kelemahan ketara pada persembahan pada malam ini terutamannya melibatkan ‘key’ yang kurang sesuai dengan suara saya untuk lagu ini.

“Selepas melakukan persembahan, saya sendiri dapat rasa bakal terkeluar pada minggu ini.

“Apa-apa pun banyak pengalaman dan benda baharu yang saya belajar sepanjang berada di pentas GV9 ini. Baru saya sedar rupa-rupanya selama ini saya bukan bagus mana pun dalam nyanyian dan muzik,” katanya.

Berkongsi perancangan kerjaya seni selepas ini, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35, lega apabila bakal diuruskan seorang pengurus.

“Saya sekarang sudah ada pengurus yang akan aturkan kerjaya nyanyian saya selepas ini.

“Alhamdulillah GV9 memang merupakan platform terbaik untuk saya kembali menjenamakan diri kerana selepas menyertai program ini, ramai yang mula kenal saya selain peminat sedia ada.

“Insya-ALLAH selepas ini saya akan kembali ke Kuala Lumpur selepas empat tahun menetap dan bekerja di Langkawi,” kata ibu kepada dua anak itu lagi.

Dalam pada itu, Bob berada di carta teratas apabila mendapat markah tertinggi dengan 85.60% menerusi lagu Kasih, nyanyian asal Datuk Sudimran Hj Arshad.

Iklan

Kedudukan itu sekali gus melayakkan penyanyi kelahiran Sarawak itu dinobatkan sebagai Bintang Memukau Adabi dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan produk Adabi berinali RM500.

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakal Datin Marlia Musa sebagai juri jemputan.

Persaingan di pentas GV9 minggu kelapan akan diteruskan oleh Bob Yusof, Shila Amzah, Tomok, Dina Nadzir, VE, Jaclyn Victor, Hazrul Nizam, Asheed Def Gab C dan Fuad Rahman.

GV9 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam.

Iklan

Kedudukan dan markah peserta pada minggu ketujuh

1.Bob Yusof – Kasih (85.60%)
2.Shila Amzah – Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu (84.10%)
3.Tomok – Kenangan Lalu (81.50%)
4.Dina Nadzir – Lady Marmalade (77.10%)
5.VE – Belaian Jiwa (76.70%)
6.Jaclyn Victor – Di Mana Kan Ku Cari Ganti (76.40%)
7.Hazrul Nizam – Azizah (68.70%)
8.Asheed Def Gab C – Pagi Yang Gelap (60.30%)
9.Fuad Rahman – Hari Ini dan Semalam (57.80%)
10.Tom- Akhirnya Kini Pasti (55.20%)

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)