Tuah Helmi Irman, dikenali sebagai pencinta karya P.Ramlee

Helmi Irman
Helmi Irman
A
A
A

MESKIPUN Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee telah lama meninggalkan kita, namun karya-karyanya tetap diingati dan diminati sehingga kini.

Malah saban tahun, ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada 22 Mac juga sentiasa dirai sebagai tanda penghargaan.

Salah seorang anak muda yang sentiasa mempamerkan apresiasinya kepada karya-karya P.Ramlee ialah bintang YouTube popular, Helmi Irman.

Biarpun lahir dan membesar dalam zaman berbeza, namun Helmi merupakan antara pencinta karya-karya Allayarham P.Ramlee.

Banyak lagu Allahyarham P.Ramlee dan Puan Sri Saloma dinyanyikan semula dan dimuat naik di laman YouTube miliknya dan berjaya mencuri perhatian ramai sehingga mencecah puluhan ribu jumlah tontonan.

Antara lagu popular Allahyarham yang dimuat naik ialah Semarak Hati, Madu Tiga, Apa Guna Berjanji, Ada Ubi Ada Batas dan banyak lagi.

Memiliki suara lunak merdu memberikan kelebihan buat anak kelahiran Pulau Pinang itu untuk mempersembahkan ‘cover’ lagu-lagu klasik Melayu dengan susunan muzik lebih segar.

“Allahyarham P.Ramlee dan Saloma adalah 'Wali Seni'. Lirik dan melodi lagu-lagu mereka sangat puitis dan mempunyai banyak makna tersurat serta tersirat di sebalik senikatanya.

“Lagu-lagu itu juga sangat sesuai dengan jiwa saya, sekali gus membuatkan saya mudah menghayatinya.

“Lagu Allahyarham juga sehingga kini segar di ingatan dan diminati pelbagai kaum di Malaysia," katanya yang mempunyai peminat daripada pelbagai lapisan usia dan kaum.

Pernah menerima beberapa tawaran untuk menjadi artis syarikat rakaman, Helmi yang turut memiliki kepandaian bermain alat muzik terpaksa menolaknya atas beberapa sebab.

“Saya seorang yang menyukai privasi. Apabila menjadi artis, memang dah tiada privasi sebab kita sudah menjadi hak orang ramai.

“Dalam masa sama, saya juga tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan urusan syarikat di mana saya gembira dengan pekerjaan pengurus acara yang sedang saya lakukan sekarang ini,” katanya.

Tidak hanya di saluran YouTube, Helmi berkata, dia juga sering membuat persembahan hotel dan majlis keraian sama ada kecil atau besar bersama bandnya, Heart’s Desire yang ditubuhkan pada tahun 2001.

“Saya seronok membuat persembahan di hotel lounge, majlis perkahwinan, majlis makan malam dan sebarang majlis keramaian di seluruh Malaysia.

“Saya buat cover lagu apabila ada permintaan daripada rakan-rakan dan juga untuk kepuasan diri sendiri, sekali gus bagi tujuan promosi untuk mendapat lebih banyak undangan persembahan pentas di sebarang majlis keramaian,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca