PENYANYI Shila Amzah memohon maaf apabila sekali lagi ‘ditangkap’ membuang gula-gula di atas pentas ketika menjayakan persembahan secara langsung sempena Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

Mengakui apa yang berlaku adalah kesilapannya sendiri, Shila atau nama sebenarnya, Norshahila Amir Amzah, 32, reda apabila rakaman itu tular di platform media sosial tidak lama selepas itu.

“Saya sedar saya silap dan sebenarnya saya belajar juga dari kesilapan ketika membuang gula-gula di atas pentas ketika AJL (Anugerah Juara Lagu ke-36) tahun lalu.

“Cuma pada hari kejadian, saya kurang sihat disebabkan demam dan batuk. Dalam masa sama, memang habit saya untuk mengunyah gula-gula berangin sebelum membuat persembahan.

“Bagaimanapun saya terlupa nak buang sebelum persembahan dan bila hampir tercekik kerana gula-gula itu kenyal, saya terus buang,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pengumuman calon akhir Anugerah Industri Muzik ke – 23 (AIM23)di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah Shila, selepas mengetahui rakaman itu tular, dia mengambil keputusan tidak membaca komen netizen dan menganggap apa yang berlaku sebagai sebahagian daripada asam garam dunia hiburan.

“Bila dah viral, tidak mengapalah benda dah jadi. Lagipun ini dunia hiburan kan, orang nak cakap apa pun cakaplah.

“Saya tak baca komen, takut nanti pitam pula,” ujarnya sambil berseloroh.

Sebelum ini, Shila juga pernah tertangkap melakukan perkara sama ketika AJL36 yang diadakan pada Mac lalu.

Iklan

Dalam pada itu, Shila Amzah teruja apabila dua lagu nyanyiannya tercalon dalam AIM23.

Shila tercalon kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu duet dengan Liza Hanim iaitu Bahagiakan Dia serta lagu Khilaf Asmara yang tercalon kategori Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama.

Iklan

“Saya gembira dengan pencalonan ini. Kalau kita tengok pencalonan kali ini penuh dengan pelbagai genre serta penyanyi generasi baharu.

“Lagipun sudah dua tahun AIM tidak adakan, tak sabar menantikan keterujaan pada malam kemuncak itu nanti.

AIM23 bakal berlangsung pada 11 September ini di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.