NAMA Voices of Euphonious (VE) bukan asing dalam industri muzik, malah kumpulan vokal harmoni yang ditubuhkan pada 1997 itu pernah meraih pelbagai kejayaan sebelum ini.

Kini, selepas hampir 13 tahun menyepi, kumpulan yang popular dengan lagu Pop Yeh Yeh, Ayu, Party Like This dan banyak lagi itu membuat keputusan untuk kembali mewarnai dunia seni.

Walau bagaimanapun kepulangan semula VE ke pentas seni tidak lengkap, apabila tiga anggota asalnya Damien, Shah dan Lah tidak lagi bersama kumpulan itu.

Sebaliknya VE2021 hanya diterajui Zafri Nazaruddin atau Zaf dan Charma Adizalilullah (Cham) bersama dua anggota baharu iaitu Adeep Nahar serta Luqman Hakim.

Menurut Zaf, mereka sudah lama merancang untuk kembali bergiat aktif, namun ekoran komitmen setiap anggotanya ditambah dengan penularan wabak Covid-19, hasrat itu tergendala.

“Kami sudah lama rindu untuk menyanyi lagi. Niat untuk masuk semula dalam industri memang sudah lama dirancang, tetapi disebabkan kesibukan anggotai VE dengan pelbagai komitmen, hasrat itu beberapa kali tertangguh.

“Kini kami yakin kehadiran Adeep dan Luqman dapat menyatukan suara kami walaupun jauh berbeza daripada VE yang dulu,” ujarnya yang kali terakhir menerbitkan lagu pada 2006 menerusi Ikhlas Tapi Jauh.

Dari Kiri: Zaf, Cham, Adeep Nahar dan Luqman Hakim

Sempena kemunculan semula, VE tampil dengan single baharu berjudul Tunggu, karya ciptaan Zaf, Mulah, Dj Uno dan Aj PopShuvit. Manakala lirik merupakan hasil tulisan Mulah, Zaf dan Cham.

Sebuah lagu ‘mid-tempo’ yang mempunyai elemen old school tetapi diadun dengan citarasa semasa itu masih mengekalkan vokal berharmoni yang menjadi trademark kumpulan yang pernah memenangi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke13.

Berkongsi lebih lanjut tentang single tersebut, Zaf berkata, mereka memilih Tunggu sebagai judul single, simbolik penantian kumpulan itu yang mengambil tempoh lebih sedekad untuk membuat kemunculan semula.

“Lagu Tunggu adalah mengenai kisah antara anak dan ibu. Kami ingin mengingatkan peminat supaya menghargai setiap detik bersama orang yang kita sayangi.

Iklan

“Karya ini mengambil masa lebih tiga minggu untuk disiapkan. Bermula daripada gubahan lagu, penulisan lirik, susunan vokal, proses rakaman dan penggambaran klip video.

“Alhamdulillan proses menyiapkan lagu sangat laju dan lancar, cuma kami mengambil masa lama untuk latihan memandangkan ini adalah lagu pertama VE dengan barisan anggota baharu.

“Jadi kami perlu mengenali keupayaan dan keserasian masing-masing. Bagaimanapun muzik video lagu ini berjaya disiapkan dalam tempoh sehari saja,” jelasnya.

Menaruh harapan agar Tunggu diterima ramai, VE memanjatkan kesyukuran kerana berjaya merealisasikan impian membuat comeback walaupun terpaksa menempuhi pelbagai halangan.

Iklan

Tunggu kini boleh didapati di semua pelantar penstriman digital, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia mulai 26 Mac lalu.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)