TV AlHijrah meneruskan iltizam untuk menjadi stesen televisyen (TV) utama yang menyatupadukan ummah dengan ilmu menerusi pelbagai pengisian menarik yang disiarkan sepanjang Ramadan.

Mengangkat tema Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan sebagai aspirasi penyiaran sepanjang tempoh dua bulan mendatang, TV AlHijrah menyajikan program-program istimewa di TV mahupun program turun padang bagi memenuhi ruang rohani penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, kesemua program tersebut disusun dengan teliti agar objektif untuk mendidik jiwa, menghiburkan dan memperbaiki kondisi dan nilai ketakwaan kepada Allah S.W.T. dapat dicapai.

“Kempen Ramadan TV AlHijrah didokong dua inisiatif utama. Pertama adalah penerbitan dan penyiaran 17 rancangan baharu dalam genre dokumentari, bual bicara, masakan, kerohanian, drama, telefilem, hiburan Islamik dan filem. Keseluruhan 29 jam penerbitan telah diperuntukkan untuk sajian rancangan Ramadan ini.

“Inisiatif kedua melibatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Jika pada tahun-tahun sebelum ini, hanya satu program CSR diperkenalkan, pada tahun ini TV AlHijrah akan melancarkan dua program atas permintaan ramai,” ujarnya pada majlis pelancaran program Ramadan TV AlHijrah di Zebra Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara program menarik yang disiarkan di TV AlHijrah sepanjang Ramadan.

Antara program menarik yang bakal bersiaran di TV AlHijrah ialah Peristiwa Ramadan, Rehlah Ruh Haramain, Khatam al-Quran Perdana, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, Cinta Ilmu Qiam, Kerusi Lipat dan Ihya Ramadan.

Diikuti Camca Ramadan, Camca Viral, Assalamualaikum Sahur, Kapsul Taranum Challenge, Sembang Moreh, Dokumentari Legasi Mushaf dan Matahati Madani. Tidak ketinggalan drama Kesempatan Kedua dan telefilem Sis Fika.

Program CSR

Sementara program CSR pula melibatkan aktiviti agihan bubur lambuk di lima lokasi tumpuan ramai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor oleh Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah yang kini memasuki tahun ketujuh penganjurannya.

Sebanyak 1,000 bungkusan bubur lambuk akan diedarkan di lokasi-lokasi tersebut termasuk Hospital Besar Kuala Lumpur dan stesen LRT dengan menggunakan khidmat 15 orang rider motosikal.

Iklan
Namanzee (enam dari kiri) serta artis jemputan bergambar bersama di hadapan bas Alhijrah On The Bus pada majlis pelancaran program Ramadan TV AlHijrah di Zebra Square, Kuala Kumpur baru-baru ini.

Satu lagi program CSR yang bakal menarik perhatian ramai ialah AlHijrah On The Bus iaitu inisiatif membawa masyarakat Malaysia kurang berkemampuan pulang ke kampung untuk berhari raya.

AlHijrah On The Bus yang baru sahaja diperkenalkan tahun ini menyediakan empat buah bas dengan kapasiti 180 penumpang akan melalui rangkaian jalan raya di utara, selatan dan timur membawa mereka yang terpilih untuk pulang beraya secara percuma.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang TV AlHijrah, www.tvalhijrah.com

Iklan

(FOTO: TV ALHIJRAH)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.