Tyka Zatyka tak kisah dianggap menumpang tuah Upin & Ipin
TUAH menyebelahi penyanyi baharu Tyka Zatyka, apabila terpilih untuk menyanyikan semula lagu animasi popular Upin & Ipin terbitan Les Copaque Production (LCP) iaitu Goyang Upin & Ipin.
Bagaimanapun lagu ciptaan Arif Asyraf Munap dan lirik Ahmad Zakri Tomirin yang sebelum ini dinyanyikan oleh suara karakter asal animasi berkenaan ditukar judulnya kepada Goyang Sama Sama dengan perubahan beberapa bahagian lirik.
Pemilihan Tyka atau nama lengkapnya, Noor Amierazatyka Ayob, 25, untuk menyanyikan versi baharu itu dilihat bertepatan kerana penyanyi kelahiran Johor Bahru itu mempunyai kelompok peminat di Indonesia, sekali gus dapat membawa lagu tersebut di sana.
Menurut Tyka yang pernah menyertai pertandingan D’Academy Asia (DAA) di Indonesia musim keempat pada tahun 2018 itu, dia tidak menyangka mendapat peluang keemasan itu daripada Nova Music.
“Saya diberitahu ada lagu animasi Upin & Ipin berentak dangdut yang mahu dinyanyikan semula.
“Difahamkan ada beberapa nama penyanyi dicadangkan untuk tujuan itu, tapi saya tidak menyangka rezeki berpihak kepada diri saya.
“Kebetulan sepanjang menyertai DAA musim keempat itu, saya terdedah dengan lagu dangdut dan mungkin itu menjadi antara sebab tuah memihak kepada saya.
“Apa pun, peluang ini merupakan satu penghormatan untuk artis baharu seperti saya.,” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut tentang lagu tersebut, Tyka berkata, rakaman lagu tersebut dilakukan pada 12 Ogos lalu.
“Lagu Goyang Sama Sama dirakamkan pada 12 Ogos lalu, manakala musik videonya pula dihasilkan 12 September di Johor Bahru.
“Sebagaimana besarnya impak versi asal lagu tersebut di Malaysia dan Indonesia, saya juga mengharapkan mendapat respon yang sama untuk versi baharu ini,” katanya.
Bukan sahaja berkebolehan menyanyikan lagu dangdut, tetapi anak bongsu daripada lima beradik itu juga sebenarnya berkebolehan menyanyikan lagu Irama Malaysia dengan baik.
“Kemampuan saya menyanyikan lenggok irama Malaysia sejak kecil mungkin bonus untuk menguasai genre muzik lain termasuk dangdut.
“Siapa tahu irama dangdut bakal beri tuah kepada saya untuk menyinar selepas ini. Saya bersyukur dapat menyanyi pelbagai irama sekali gus bukti kemampuan diri ini bersifat versatil.
“Dalam masa sama, saya tak kisah jika ada yang menganggap saya menumpang populariti Upin & Ipin menerusi lagu ini kerana saya percaya semuanya itu adalah soal rezeki,” katanya.
Tyka sebelum ini pernah muncul menerusi single Wangikanlah Hatimu, duet bersama Noraniza Idris, selain single solo Cinta Happy.
Muzik video Goyang Sama-Sama versi baharu itu boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos bermula 16 Oktober lalu menerusi pautanhttps://youtu.be/cUbLwjh00g4
(FOTO: Nova Music)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang