PELAKON, Ummi Nazeera mengambil keputusan menarik diri sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).

Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nurhidayah Zainul Abidin, 32, berkata, dia memutuskan perkara itu selepas mengambil kira kegusaran ramai mengenai penglibatannya dalam dunia politik.

“Setelah mengambil kira kegusaran dari peminat-peminat Ummi yang disayangi serta dari pihak-pihak berkepentingan, saya Ummi Nazeera mengambil keputusan untuk menarik diri dari Muafakat Nasional, sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Ummi akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan juga fokus kepada keluarga Ummi,” katanya dalam satu hantaran di Instagramnya pada Ahad.

Pada Sabtu, penyanyi, Datuk Jamal Abdillah mengumumkan menarik diri daripada MN kerana menyifatkan dunia politik tidak sesuai dengan prinsip dirinya sebagai penghibur.

Ummi dan Jamal menjadi bualan ramai susulan nama mereka tersenarai sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN.

Sebelum itu, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan individu yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti profesional, ahli akademik, pempengaruh serta melangkaui parti politik yang akan membantunya menggerakkan NGO tersebut.

Sementara itu, menerusi hantaran sama, Ummi turut mengucapkan terima kasih kepada MN kerana melantiknya.

“Terima kasih atas kesudian MN melantik Ummi dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO. Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Jamal Abdillah memaklumkan menarik diri dari menyertai MN atas faktor prinsip yang disifatkan tidak sesuai dengan dirinya.

Jelas Jamal, beliau memaklumkan ramai peminatnya yang menyuarakan pandangan agar menarik diri dari dunia politik.

“Saya dengan rasa rendah diri ingin menarik diri dan politik tidak sesuai dengan prinsip saya sebagai penghibur. Saya menginginkan semua orang menyukai saya yang mana, peminat saya juga berada dalam parti-parti politik, sedangkan ramai meminta saya menarik diri.

Iklan

“Keluarga, sahabat dan peminat-peminat mohon saya melakukan itu. Saya pun berpendapat lebih baik saya neutral dan kalau ingin melontarkan pandangan, biarlah dengan cara yang tersendiri,” katanya kepada portal Harian Metro.

Penyanyi berusia 63 tahun itu turut berterima kasih kepada pihak MN yang menawarkan peluang menyertai NGO itu dalam usaha memperjuangkan kemakmuran negara.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang menjemput saya menyertai MN dan yakin dengan diri saya. Memang sebagai bapa dan ketua keluarga, tiada lain yang saya inginkan untuk negara yang tercinta melainkan sebuah negara aman, bersatu padu, makmur, dan sejahtera,” katanya.