PELAKON Ungku Ismail kembali berkongsi tentang perkembangan terkini keadaan kesihatan Nad Zainal yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Tindakan itu dilakukan setelah menerima banyak mesej daripada peminat yang mahu dia terus membuat perkongsian tersebut bagi memudahkan orang ramai mengetahui perkembangan terkini Nad.

“Saya nak jelaskan tentang isu merajuk atau sentap yang diperkatakan. Tiada istilah itu pun. Saya hanya cuba menggunakan akal saya untuk menguruskan situasi ketika itu yang sudah terpesong dan ke arah yang salah.

“Saya minta berdoa (kesembuhan Nad) tetapi orang lebih nak bercerita tentang perhubungan dan kerjaya, padahal perkara itu tak sepatutnya berlaku.

“Jadi saya hanya nak mengingatkan semua orang agar sama-sama fokus berdoa untuk Nad Zainal dan tiada benda lain,” jelasnya menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun Instagramnya pada Rabu.

Dalam perkongsian sama, hero drama Cina Buta itu juga meminta netizen agar menghormati perasaan kedua-dia ibu bapa Nad Zainal dan tidak membuat kenyataan yang tidak sepatutnya sehingga boleh menggores perasaan mereka.

“Apabila nama ibu bapa Nad mula terpalit di bahagian komen, di mana ada yang mempersoal atau mempertikaikan keputusan mereka, saya tak suka.

“Dalam keadaan anak tunggal mereka sedang terlantar di ICU, tolonglah hormat dan bagi ruang kepada mereka untuk bertenang dan mengharungi keadaan dan masalah itu dengan baik,” tegasnya lagi.

Berkongsi perkembangan terkini Nad, Ungku Ismail berkata, setiap hari Nad menunjukkan perkembangan positif walaupun kecil.

“Setiap hari ada perkembangan positif. Sedikit demi sedikit dan sentiasa ada progres walaupun kecil.

“Bagaimanapun tekanan darah dan oksigen dalam badannya masih naik turun. Namun alhamdulillah tetap ada perkembangan yang baik.

“Dalam tiga hari lepas, doktor sudah kurangkan ubat tertentu. Nad dah boleh buka mata, gerakkan tangan dan mengangguk bila orang bercakap dengan dia,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, katanya lagi, selagi Nad masih berada di ICU, ia bermaksud keadaan pelakon itu masih lagi kritikal.

“Apabila Nad masih lagi dalam ICU, dia masih lagi dalam keadaan kritikal. Kita tak boleh gembira sangat dan teruslah berdoa agar paru-parunya kembali sembuh dan doktor boleh cabut mesin pernafasan.

“Selagi tak cabut mesih pernfasan itu, selagi itulah saya masih tak keruan. Ibu bapa Nad apatah lagi. Walaupun mereka nampak tenang, tetapi sebagai ibu bapa pastilah risau anak tunggal mereka berada dalam keadaan begitu,” katanya.

Ungku Ismail menjelaskan, dia berkongsi perkembangan Nad secara terperinci kepada orang ramai bagi memberi gambaran sebenar keadaan pelakon itu, sekali gus mengelakkan timbul cerita bukan-bukan.

Iklan

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan tentang inisiatif memohon sumbangan daripada orang ramai untuk membantu meringankan kos rawatan yang dijalani Nad buat ketika ini.

“Sumbangan ini adalah inisiatif daripada rakan-rakan dan peminat untuk membantu ibu bapa Nad berkaitan kos rawatan.

“Kita sama-sama dengan rela hati dan ikhlas cuba beri sumbangan biar apa pun kedaaan mereka bagi menunjukkan keprihatinan kita.

“Ibu bapa dia bersetuju dengan usaha ini. Jadi jangan mempertikaikan keputusan ibu bapanya kerana mereka dalam keadaan yang memerlukan pertolongan,” tegasnya.