USAHA keras pelakon dan pengacara, Zoey Rahman memajukan perniagaan produk kosmetik serta penjagaan kulit miliknya membuahkan hasil.

Menurut Zoey atau nama sebenarnya, Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, produk di bawah jenama MikaSeries itu sudah mula dijual melalui Watson.

“MikaSeries mula diwujudkan pada tahun 2016. Asalnya nama Mika diilhamkan dari Malaikat Mikail, malaikat yang ditugaskan memberikan rezeki kepada semua makhluk.

“Bermula dengan tiga orang, iaitu saya bersama dua orang lagi rakan, kami menguatkan jenama MikaSeries menerusi pengeluaran beberapa siri produk dan dipasarkan di beberapa acara besar dan platform e-dagang.

“Alhamdulillah segala penat lelah berbayar apabila produk saya akan mula dijual di Watson bermula awal November ini.

“Bukan itu sahaja, produk ini akan dipasarkan pusat membeli belah Quill City Mall bermula hujung tahun ini,” ujarnya.

Tidak merasa bimbang kerana kewujudannya sebagai pemilik MikaSeries tidak diketahui ramai, Zoey ada pendapatnya tersendiri.

“Sebagai pengusaha produk, saya akui ramai yang tak tahu saya merupakan pemilik MikaSeries tapi saya lebih senang dengan cara pemasaran begini.

“Saya mahu produk lebih ditonjolkan daripada diri saya yang ke hadapan, kalau kita lihat produk antarabangsa, kita pun tak tahu siapa pemiliknya. Itu yang cuba saya terapkan pada MikaSeries,” jelasnya yang mengakui memperlahankan karier seni demi memberi tumpuan terhadap perniagaan.

Iklan
ZOEY
Zoey pada majlis pelancaran produk MikaSeries di Quill City Mall baru-baru ini. Turut sama hadir adalah ibunya (dua dari kiri).

Mika Series merupakan rangkaian produk penjagaan kulit dan kosmetik yang sesuai digunakan untuk lelaki dan perempuan.

Tambah Zoey, segala usaha kerasnya itu juga adalah atas dorongan kedua ibu bapanya iaitu , Azizah Ibrahim, 63, dan Abd. Rahman Ngah, 77.

Iklan

Justeru sebagai tanda penghargaan, Zoey menghadiahkan sebuah unit kondominium di Cheras, Kuala Lumpur berharga RM500,000 buat ibu bapanya.

“Alhamdulillah berkat doa mak ayah, saya dah sampai ke tahap ini. Ini hadiah paling besar yang pernah saya berikan buat ibu dan ayah saya.

“Saya memang berniat nak balas jasa dan beri penghargaan buat kedua ibu bapa yang selama ini sentiasa menyokong saya. ibu dan ayah sentiasa bagi kata-kata semangat untuk saya,” katanya.