Usaha murni Diana Amir

A
A
A

BIMBANG dengan kandungan animasi yang kadangkala agak berlebihan di kaca televisyen, mendorong aktivis, pengacara dan pelakon, Diana Amir membangunkan sebuah kandungan program kanak-kanak berciri Islamik dan patuh syariah.

Menurut Diana atau nama sebenarnya, Nurdiana Amir Hashim, 36, atas faktor itu, dia mengambil inisiatif untuk memulakan slot program Nurkids di saluran platform digital, Nurflix, yang akan bermula tidak lama lagi.

“Bila menonton TV dengan anak-anak, selalunya mereka akan kawal apa yang mahu mereka tonton. Sebagai ibu bapa, walaupun hanya program animasi, tetapi kita masih jaga apa yang mereka tonton.

“Kalau kita tengok, program hiburan terutama daripada negara luar banyak tunjukkan kata-kata yang tidak elok dan kesat.

“Jadi saya terfikir, alangkah bagus jika kita buka sesuatu siaran itu, kita tak perlu kawal apa yang mereka mahu lihat.

“Atas sebab itu, saya memberi idea untuk mewujudkan program Nurkids yang menghiburkan namun tetap mengikut landas-landas Islam.

“Saya berharap program-program yang ditawarkan di Nurkids mampu membina jati diri, mempe­lajari sifat kepimpinan diri, membentuk sahsiah terpuji serta membina ukhuwah yang baik dan sejati dalam kalangan kanak-kanak dan anak muda,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) serta pelancaran program Nurkids & Turath yang berlangsung di Skyforest, Acapella Suite Hotel, Shah Alam baru-baru ini.

Tambah Diana, selain tampil dengan beberapa rancangan baharu, Nurkids juga akan bekerjasama dengan animasi tempatan sedia ada secara eksklusif di Nurflix.

“Kita tidak melihat animasi sedia ada sebagai pesaing, sebaliknya kita akan bekerjasama dengan kandungan lebih eksklusif.

“Walaupun ada yang melihat kenapa saya beriya untuk membangunkan program seperti ini, tapi saya kira ini sebagai satu perjuangan juga,” jelasnya.

DIANA AMIRDiana kini meletakkan keutamaan kepada keluarganya.

Perlahankan kerjaya

Nurkids menawarkan pelbagai variasi program menarik serta menghiburkan yang terdiri daripada sitkom berbentuk kekeluargaan serta akademik, drama superhero, masakan, bacaan dan hafazan al-Quran sehinggalah gameshow.

Ditanya mengenai perjalanan kerjaya seninya kini, anak kelahiran Birmingham, United Kingdom itu berkata, dia kini lebih selesa memberi tumpuan kepada keluarga, terutamanya tiga cahaya mata yang sedang membesar.

Diana yang mendirikan rumah tangga dengan Mohd Habibbullah A Rahman pada Oktober 2013, dikurniakan tiga cahaya mata iaitu, Khaulah Al Azwar, 5, Khadija Azzehra, 3, dan Muhammad Khalid Al Habib, 1.

Katanya, semenjak meninggalkan dunia lakonan kira-kira tiga tahun lalu, dia tidak berasa ralat atau teringin untuk kembali.

“Berlakon ini perlukan komitmen yang tinggi, jadi saya kena memilihlah. Bagaimanapun saya tak kisah untuk mengacara sekiranya ada masa sesuai, lebih-lebih lagi sekiranya program itu membawa manfaat,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca