MINAT Azmi Saat terhadap dunia muzik sudah terbit sejak usia awal remaja lagi.

Justeru, ketika menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 2008, Azmi atau nama penuhnya Khairul Azmi Mohd Saat, 33, mengambil peluang untuk mempelajari selok-belok teknik rakaman audio menggunakan komputer melalui kawan-kawannya.

Daripada lirik, melodi, susunan muzik dan rakaman semuanya dilakukan sendiri sehingga terhasilnya lagu Tulus.

Bagaimanapun, karya itu hanya ‘terperam’ dalam simpanan Azmi sehinggalah pada awal tahun ini, vokalis Caliph Buskers itu dilamar oleh Valient Music sebagai artis rakaman.

Menurut Azmi, Valient Music menggalakkannya mencipta lagu sendiri dan mendalami tentang produksi muzik.

Faktor itulah yang mendorong Azmi memperdengarkan lagu Tulus kepada pihak Valient Music dan mereka bersetuju untuk menggunakan khidmat Ezra Kong sebagai penerbit lagu tersebut.

“Ketika saya ditawarkan kontrak rakaman oleh Valient Music, saya terus terima kerana mereka memberi peluang kepada saya untuk mengetengahkan karya-karya saya.

“Bukan itu sahaja, saya juga dapat bekerjasama dengan Ezra Kong.

“Sejujurnya saya memang teruja kerana inilah lagu pertama yang saya cipta sendiri. Lebih-lebih lagi lagu ini mendapat sentuhan daripada produser terkenal seperti Ezra Kong,” jelasnya.

AZMI-ISTERI
Tulus merupakan interpretasi perasaan Azmi buat isterinya.

Tulus berkisar perasaan Azmi yang mula merasai hadirnya cinta yang ikhlas daripada seseorang kepada dirinya.

Lagu Tulus khas untuk teman istimewa beliau yang sudah pun bergelar isterinya sekarang sebagai tanda memohon maaf dan luahan rasa cinta beliau.

Iklan

“Lagu ini saya tujukan khas untuk kekasih saya yang juga isteri saya kini, Nazirah Muhammad,” ujarnya.

Tambah Azmi, melalui Tulus, dia berharap pendengar sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain walaupun tidak dibalas sebagaimana diharapkan.

“Lagu ini adalah interpretasi mengenai sifat tulus yang tidak pernah mengharapkan apa-apa faedah daripada setiap yang dilakukan,” akhiri beliau.

Iklan

Tulus diterbitkan oleh Universal Music Malaysia & Valient Music.

Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes, YouTube dan juga YouTube Music.