FENOMENA lagu Peluang Kedua nyanyian asal Nabila Razali sememangnya luar biasa.

Boleh dikatakan, karya ciptaan Hael Husaini itu begitu berhantu dan diminati pelbagai lapisan masyarakat.

Faktor itu mendorong kumpulan acapella, Bahiyya Haneesa atau Haneesa membuat percaturan memberi nafas baharu untuk Peluang Kedua ini.

Kumpulan yang dianggotai Wafa Amira (Wafa), Waheeda Batrisyia (Bon), Nurul Amaninah (Nina), Nor Suhaida (Suha), Nor Afiqah (Afi), Nur Fatin (Fatin), Saidatul Syahirah (Syasya) dan Siti Nabilah (Bella) itu mulanya tampil sebagai kumpulan nasyid, namun kini terbuka mencuba muzik lebih versatil.

Justeru dalam menampilkan kelainan, Haneesa tetap menjadikan kekuatan elemen harmoni dalam nyanyian mereka sebagai nyawa untuk lagu itu.

Hakikatnya, identiti itulah yang membezakan kumpulan ini dengan penyanyi lain. Justeru, tidak timbul isu tiru-meniru setiap kali menyanyikan lagu penyanyi lain.

Namun begitu, Haneesa masih mengekalkan melodi asal lagu Peluang Kedua tanpa melakukan gubahan berlebihan.

Mewakili anggota kumpulan yang lain, Wafa berkata, lagu Peluang Kedua mempunyai melodi cukup indah dan mereka hanya mengubah sedikit mengikut identiti nyanyian mereka.

“Kami mengambil versi Peluang Kedua yang menampilkan MK K-Clique, elemen rap tentu lebih menghidupkan lagu ini.

“Antara faktor yang membuatkan kami memilih lagu ini kerana ia popular dan budak kecil pun hafal.

“Kami gunakan kelebihan ini untuk berikan pendengar sedikit kelainan. Mereka boleh nyanyi dengan melakukan harmoni dan bukan semata-mata menyanyikan liriknya sahaja.

Iklan

“Apa yang menariknya dari segi pembikinan Peluang Kedua versi acapella ini, kami bertungkus-lumus bersama penerbit iaitu Kelana menghasilkan susunan semula muziknya.

“Tidak ketinggalan, kami menetapkan bahagian harmoni, ‘beatbox’, serta rap,” katanya.

Tambah Wafa, apa yang penting Haneesa cukup seronok dengan hasil akhir versi baharu Peluang Kedua.

“Kami sangat gembira apabila semua ahli Haneesa dapat menyanyikan lagu ini dengan gaya tersendiri dan berikan sepenuh hati dalam bahagian masing-masing.

Iklan

“Kami akur dan tahu genre acapella masih terlalu kurang mesra atau boleh dikatakan asing di telinga pendengar Malaysia,” ujarnya yang turut memaklumkan mereka juga aktif membuat ‘cover’ beberapa lagu popular.

Peluang Kedua (2021) boleh didengari menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.