SETELAH sekian lama tidak tampil dengan single baharu, penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura tampil dengan sebuah lagu istimewa bersempena pelancaran kempen Tabung Pahlawan.

Lagu Perwira itu menyaksikan kerjasama semula Ning atau nama penuhnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 45, bersama komposer Aubrey Suwito, setelah kali terakhir bergandingan menerusi lagu Awan Yang Terpilu pada 2004.

Lebih istimewa, projek itu juga memperlihatkan kerjasama pertama Ning bersama Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio Sdn Bhd, Ahmad Izham Omar.

Bercerita lanjut mengenai lagu Perwira, Ning berkata, lagu tersebut dicipta khas untuk kempen Tabung Pahlawan yang bertujuan mengutip dana yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia dan Primeworks Studios Sdn Bhd.

“Saya berasa cukup terharu apabila menerima undangan daripada Ahmad Izham yang sudi mengajak saya berkolaboratif untuk lagu Perwira kerana ini merupakan kerjasama pertama kami. Saya percaya dengan magis yang ada pada Aubrey dan Ahmad Izham.

“Lagu ini adalah sebagai satu tanda penghormatan kepada perwira negara yang telah berkorban untuk tanah air selama ini.

“Kami berharap dengan terhasilnya lagu ini, akan timbul kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang segala jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para wira negara dalam memastikan kita hidup aman damai dan sejahtera,” ujarnya.

Tambah Ning, proses rakaman lagu ini dilakukan pada penghujung bulan Jun lalu di studio Cranky Music milik Aubrey di Petaling Jaya dan mengambil masa kurang dari empat jam.

“Rasa teruja sebab dah lama tak tampil dengan single baharu. Proses perbincangan dan rakaman juga tidak mengambil masa yang lama.

“Kami mengikut segala SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh kerajaan walaupun hanya bekerja di dalam studio.

NING DAN AUBREY
Proses perbincangan dan rakaman lagu Perwira mengambil masa kurang empat jam pada akhir Jun lalu.

“Ia pengalaman baharu yang cukup berharga. Pada masa sama, saya rasa sangat gembira kerana dapat kembali aktif.

Iklan

“Walaupun Perwira boleh dikategorikan sebagai lagu patriotik, tapi saya percaya ia akan berjaya menangkap pendengar untuk mendengar lagu ini berulang kali,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pemilihan Ning Baizura selaku penyanyi Perwira, Ahmad Izham berkata, pemilihan itu dibuat bersama Aubrey apabila proses keseluruhan lagu ini siap diperdengarkan.

“Hasil perbincangan, kami merasakan Ning Baizura sesuai untuk mengalunkan Perwira. Kami percaya Ning mampu menghidupkan lagu ini.

“Kebolehan beliau dalam mengekspresikan lagu dengan begitu indah, menyentuh hati dan perasaan dengan penjiwaan yang mendalam memang tidak dapat dinafikan.

Iklan

“Kami begitu teruja apabila Ning menerima lamaran kami untuk menyanyikan lagu ini,” jelas Ahmad Izham.

Perwira boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 17 Julai 2020.