Vokal Mania jadi batu loncatan, Aisha Retno pantas cipta peluang

A
A
A

DINOBATKAN juara pertandingan Vokal Mania untuk kategori rookie baru-baru ini, Aisha Retno, 20, tidak menunggu lama untuk tampil dengan lagu baharu, Cinta Denganmu.

Cukup mendayu, lagu tersebut berkisar tentang kesedihan satu pihak bertepuk sebelah tangan.

Bukan sahaja dikenali dengan kelantangan vokal memukau, penyanyi kacukan Indonesia-Malaysia itu jelas membuktikan dia antara pelapis baharu berpotensi besar pergi jauh.

Lagu ciptaan Farouk Roman dan Amylea Azizan itu turut menjadi runut bunyi untuk drama Takdir Yang Tertulis arahan Shahrulezad Mohameddin.

Bercerita mengenai lagu Cinta Denganmu, Aisha berkata ia sebuah kisah percintaan yang menyedihkan bertepatan dengan plot cerita drama itu sendiri.

Menerusi Cinta Denganmu, Aisha sendiri dapat merasa keperitan seorang wanita yang cintanya tidak berbalas.

“Lagu ini berkenaan perasaan cinta seorang wanita tidak diterima si lelaki. Dia terpaksa akur cintanya bertepuk sebelah tangan, meski sudah cuba berusaha mengejar cintanya.

“Wanita itu sangat berharap dapat menjaga lelaki itu walau apa pun dugaan menimpanya. Tapi malangnya, lelaki itu tidak mampu membalas cintanya.

“Mesej lagu ini sebenarnya adalah cinta itu tidak perlu dipaksa dan kena hadir sendiri. Kepada pasangan bercinta pula, mereka seharusnya memiliki kesefahaman daripada kedua pihak dan bukan semua pasangan bercinta mampu mengecap kebahagiaan diidam,” katanya.

Selain berbakat dalam dunia seni suara, Aisha juga turut berbakat dalam dunia penciptaan lagu.

Berkongsi pengalaman rakaman lagu Cinta Denganmu, Aisha berkata, dia teruja berpeluang menyanyikan lagu ciptaan Farouk dan Amylea, lantaran dia sendiri sentiasa mengagumi hasil karya kedua komposer muda itu.

“Alhamdulillah proses pembikinannya lancar dan dipermudahkan. Bekerja dengan Farouk dan Amylea adalah satu penghormatan buat saya.

“Seminggu sebelum rakaman, Farouk memberikan demo lagu itu kepada saya selain banyak perbincangan dibuat untuk saya sesuaikan diri dengan lagu ini.

“Walaupun Farouk mempunyai nama besar, dia masih lagi terbuka menerima pendapat orang baharu seperti saya.

“Sewaktu rakaman, saya mendapat tunjuk ajar daripada Jat Lobo yang berperanan sebagai pengarah vokal. Dialah yang membantu saya daripada segi penjiwaan demi memastikan penyampaian nyanyian berkesan,” ujarnya.

Bagaimanapun Aisha juga tidak mengambil mudah dan hanya sekadar menyanyikan lagu itu tanpa memahami liriknya.

Dia mengakui kurang pengalaman dalam bercinta dan menjadi cabaran terbesar buatnya.

“Secara peribadi, cabaran terbesar semestinya untuk mendalami liriknya. Saya sendiri belum pernah mengalami perit percintaan sebagaimana kisah lagu ini.

“Memang saya akui ambil masa juga untuk benar-benar dapat menghayatinya. Tapi alhamdullilah, Jat Lobo sangat membantu sepanjang proses itu,” katanya.

Terdahulu, Aisha sudah pernah menghasilkan beberapa lagu termasuk Mengikat Jiwa dan Terima Kasih (duet bersama Yuka Kharisma).

Lagu Mengikat Jiwa benar-benar membuka mata peminat untuk mengikuti kerjaya nyanyiannya. Semakin meraih pengikut di media sosial, Aisha juga sentiasa memuat naik video nyanyian semula lagu artis lain di Instagram.

Cinta Denganmu kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube dan Youtube Music.

[embed]https://youtu.be/eFEkR-f9RCQ[/embed]

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca