SELEPAS hampir enam tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur, kumpulan popular Indonesia, Wali Band teruja dapat kembali mengubati rindu peminat mereka di Malaysia menerusi sebuah persembahan istimewa.

Wali Band yang dianggotai oleh Faank selaku vokalis, Apoy (gitaris), Ovie (keyboard) dan Tomi (dram) bakal beraksi di konsert Dream Festival Collaboration Vol. 2 yang akan berlangsung di di Zepp Kuala Lumpur pada 20 Mei depan.

Tomi dalam sesi sidang media secara virtual baru-baru ini berkata, mereka terharu apabila kembali meraih kepercayaan penganjur untuk beraksi di Kuala Lumpur.

“Kami masih meneliti senarai lagu yang menjadi kegemaran peminat di Malaysia. Malah kami turut mendapatkan pandangan peminat, terutama di media sosial mengenai lagu yang disukai mereka.

“Dari situ, kami akan rangka konsep persembahan bersesuaian untuk memberi kepuasan kepada peminat, apatah lagi kami sudah hampir enam tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur,” katanya.

Konsert berdurasi satu setengah itu bakal menyaksikan band yang popular dengan lagu Cari Jodoh itu berkongsi pentas dengan kumpulan Floor 88.

Kolaborasi

Mengulas kolaborasi bersama Floor 88, Tomi berkata, Wali Band berbangga dapat berkongsi pentas dengan pemuzik Malaysia yang popularitinya turut menular di Indonesia.

“Lagu Floor 88 tidak asing bagi kami dan peluang bertemu serta bersilaturahim menerusi Dream Festival Collaboration Vol.2 ini kami anggap sebagai penghargaan besar. Kami senang sekali dapat bekerjasama dengan band yang paling hype di Malaysia ini.

“Pastinya, kami akan berkolaborasi dengan mereka di atas pentas nanti. Apa yang penting, lagu yang dipilih nanti akan membuatkan peminat yang datang senang dan puas melihat persembahan kami,” katanya.

Memulakan karier seni pada 1999, populariti Wali Band membawa mereka mengembara ke rantau Asia, termasuk Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong untuk mengetengahkan muzik mereka.

Antara lagu popular Wali Band termasuk Doaku Untukmu Sayang, Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Ada Gajah Di Balik Batu dan banyak lagi.

Wali Band janji berikan persembahan terbaik untuk peminat di Malaysia.

Wali Band bakal mempersembahkan sekitar 15 hingga 17 lagu popular menghiburkan peminat setia mereka di Malaysia.

Peluang keemasan

Sementara itu, Floor 88 pula menyifatkan, tawaran untuk beraksi bersama Wali Band sebagai peluang keemasan, apatah lagi karya kumpulan popular Indonesia itu sentiasa menjadi rujukan mereka.

“Kami bersyukur terpilih untuk berkongsi pentas dengan nama besar seperti Wali Band. Ini peluang keemasan buat kami menimba pengalaman dengan kumpulan yang sudah 24 tahun bertahan dalam industri muzik.

Iklan

“Sudah tentu kami tidak sabar bertemu pemuzik yang menjadi rujukan kami sejak di bangku sekolah lagi. Berkongsi pentas bersama mereka adalah penghormatan besar dan kami akan buat yang terbaik untuk konsert itu nanti,” kata vokalisnya, Ayie.

Floor 88 turut dibarisi Eric Fuzi selaku pemain keyboard, Achoi (gitar), Falique (bass), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Berkongsi tentang tawaran tersebut juga, Eric berkata, mereka terus memberikan kata persetujuan sebaik sahaja menerima pelawaan untuk beraksi bersama Wali Band kerana terlalu teruja.

“Ramai yang menanti kemunculan mereka di sini. Pastinya menerusi kolaborasi ini, kami berharap ia akan memberi impak baharu terhadap industri muzik Malaysia dan Indonesia.

Iklan

“Muzik itu universal dan menjadi penyambung manusia sejagat. Apatah lagi, muzik yang dibawakan Wali Band dan Floor 88 tidak jauh beza apabila menyatukan unsur humor dan mesej yang jarang diketengahkan pemuzik lain,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan Dream Festival Collaboration Vol. 2 – Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198, RM298, RM358, dan RM5,088 (VIP Box). Pembelian boleh dibuat menerusi laman web, www.ticket2u.com.my.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.