“TUNGGU sembilan bulan dan laksanakan majlis yang simple itu tetap indah untuk haruman seindah seorang bayi.”

“Ni baru betul majlis aqiqah ikut SOP.”

“Alhamdulillah memang cara yang betul mendahulukan asnaf. Semoga ada keberkatan di situ.”

“Allahuakbar macam ni la contoh teladan semoga Lisa dan Yusry sentiasa dalam rahmat ALLAH.”

Berikut antara perkongsian warga maya yang memuji tindakan pelakon dan pengacara, Datin Lisa Surihani dan suaminya pengarah dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim menganjurkan majlis aqiqah baru-baru ini.

Umum mengetahui Lisa yang pernah membintangi filem Istanbul Aku Datang itu selamat melahirkan cahaya mata ketiga, Yunos Laith pada 15 Jun lalu.

Kelahiran bayi lelaki tersebut disifatkan istimewa kerana berkongsi tarikh kelahiran sama dengan Yusry.

Menerusi laman Instagram, aktres jelita tersebut bersyukur majlis aqiqah berjalan dengan lancar.

Selain itu, beliau turut memuat naik sebuah video memaparkan pembungkusan makanan majlis tersebut yang dilakukan secara sederhana buat tatapan umum.

Apa yang menarik perhatian warga maya, majlis aqiqah itu dilakukan mengikut pematuhan prosedur
operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.o) yang telah ditetapkan.

Iklan

Menurutnya, urusan penyembelihan dua ekor kambing dan makanan diagihkan kepada golongan asnaf dan keluarga terdekat.

“Terima kasih @kedaikopikl tolong permudahkan untuk kami laksanakan upacara aqiqah bagi anak kami Yunos Laith bin Yusry.”

“Bantu kami untuk agihkan dengan servis penghantaran makanan nasi Arab dari penyembelihan dua ekor kambing bagi golongan asnaf dan keluarga terdekat.

“Alhamdulillah selesai. Thank you sayang daddy @yusryabdhalim,” tulis Lisa di ruangan kapsyen.

Artikel berkaitan: Lisa Surihani selamat bersalin, anak ketiga kongsi hari jadi dengan Yusry

Lisa dan Yusry

Iklan

Selain itu, Lisa turut berkongsi foto cukur rambut Yunos yang dilakukan sendiri dan Yusry.

Meninjau ke ruangan komen, majlis aqiqah berkenaan menerima banyak pujian apabila dilakukan secara sederhana dan mematuhi SOP.

Selain bijak menguruskan majlis mengikut SOP, warganet turut kagum dengan tindakan mereka mengagihkan makanan kepada golongan sangat memerlukan.

Malah, ramai pengikut mendoakan agar bayi mereka menjadi anak yang soleh dan dirahmati ALLAH selalu.