SINONIM dengan watak-watak berat dan penuh emosi, Tiz Zaqyah mengakui menemui kepuasan tersendiri setiap kalai menjayakan karakter sedemikian.

Biarpun tidak mudah, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak, sentiasa bersedia menggalas cabaran, asal sahaja lakonannya mampu memberi impak kepada tontonan.

Perkara tersebut dibuktikan dalam setiap naskhah lakonannya yang sering mencuri perhatian dan menjadi sebutan ramai.

“Alhamdulillah saya gembira apabila kerja-kerja lakonan diingati penonton. Terutamanya melibatkan naskhah-naskhah penuh emosi dan meruntun hati.

“Sejujurnya saya memang suka menjayakan karakter berat kerana ia mampu memberi kepuasan tersendiri dalam lakonan saya.

“Memang penat membawakan watak-watak sebegitu, tetapi sebagai seorang pelakon saya memang sukakan cabaran,” ujarnya pada SinarPlus.

Liar

Terbaru, pemenang Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin edisi ke-20 itu bakal tampil dengan drama berjudul Liar, sebuah naskhah adaptasi daripada siri antarabangsa yang juga calon siri thriller terbaik di BAFTA Awards dan British Screenwriters’ Award.

Memegang watak sebagai Lara Sulaiman, bintang berusia 35 tahun itu berkata, karakter tersebut menuntut komitmen begitu tinggi daripadanya. Karakter yang penuh dengan emosi, depresi dan air mata yang tentunya mengerah tenaga bukan sedikit daripadanya.

Tiq Zaqyah membawakan watak sebagai Lara Sulaiman, wanita yang mengalami depresi dalam Liar.

“Watak ini adalah antara yang paling mencabar pernah saya bawakan. Setiap babak mempunyai cabarannya tersendiri dan menuntut komitmen tinggi.

“Setiap dialog dan dan gerak laku yang dibuat untuk watak Lara itu semuanya bersebab dan saya tidak boleh buat sesuka hati.

“Alhamdulillah ketiga-tiga pengarah sangat membantu dan sentiasa mengingatkan saya untuk berada di landasan betul,” katanya yang mula dikenali menerusi drama Nur Kasih lebih sedekad lalu.

Limitasi

Mengulas tentang beberapa babak dalam drama tersebut yang dianggap sedikit ‘panas’ dan kesediaannya memenuhi tuntutan tersebut, Tiz ada pandangannya sendiri.

“Saya percaya setiap babak dalam drama ini tidak dibuat saja-saja, sebaliknya mengikut keperluan dan kehendak jalan cerita. Matlamatnya untuk bercerita tentang realiti dan menyampaikan mesej kepada masyarakat, bukan untuk mengumpan rating.

“Sebagai pelakon, saya juga mampu menilaikan sendiri, apa yang perlu dan apa yang tidak. Kalau ada keperluan kepada jalan cerita, saya tidak ada masalah untuk lakukan.

Iklan

“Namun jika sebaliknya, saya tidak ragu-ragu untuk menolak kerana lakonan juga ada limitasi,” tegasnya.

Naskhah arahan Jason Chong, Lim Siu Min dan Imri Nasution itu bakal disiarkan di platform On Demand atau Astro Go pada setiap Sabtu, jam 12 tengah malam, bermula 25 Mac ini. Sementara di saluran Astro Ria pada setiap Isnin, jam 9 malam, mulai 3 April depan.

Dalam perkembangan lain, anak bongsu daripada dua beradik itu mengakui teruja menyambut Ramadan yang akan disambut pada Khamis ini.

“Sepanjang Ramadan ini, saya akan sibuk dengan aktiviti dan acara melibatkan bisnes Aura White yang saya usahakan.

Iklan

“Insya-ALLAH menerusi acara itu juga saya dapat bertemu dengan peminat,” katanya mengakhiri perbualan.

(FOTO: ASTRO)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.