PENDATANG baharu, Nuha Bahrin teruja berkongsi single sulungnya, XSempurna yang bakal memperkenalkan namanya kepada peminat muzik tanah air.

Menariknya, karya ciptaan komposer terkenal, Ezra Kong itu secara keseluruhannya memaparkan kisah benar pernah dilalui Nuha, saat bakatnya dikecam ramai.

Tidak hanya pada bait liriknya, tetapi melodi dan susunan muzik XSempurna turut melengkapkan perjalanan cerita Nuha bergelar penyanyi.

“Lagu ini juga merangkumi perjalanan saya menjadi penyanyi baharu dalam industri muzik dan bagaimana saya telah belajar banyak perkara pada masa lalu.

“Pengalaman manis tetapi dalam masa turut pahit. Saya anggap ia rahmat terbesar kerana Allah menguji seperti itu.

“Orang di sekeliling banyak membimbing saya menjadi penyanyi lebih baik, sekali gus menunjukkan betapa mereka peduli terhadap saya.

“Apa yang buat saya terharu, sebahagian daripada mereka adalah orang-orang yang saya tidak kenali,” katanya.

Berkongsi mengenai muzik video lagu tersebut, Nuha berkata, penggambarannya terpaksa diawalkan daripada perancangan asal disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

“Disebabkan keputusan pada saat akhir, pihak produksi bertungkus-lumus menyelesaikan penggambaran sebelum jam 12 tengah malam.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ramai menolong saya semasa penggambaran menjadikan prosesnya berjalan lancar sebagaimana diinginkan.

“Allah sahaja dapat membalas jasa baik semua yang membantu pada hari itu,” ujarnya.

Iklan

Single XSempurna merupakan kerjasama antara BeeGood Music dan Universal Music Malaysia. Muzik video yang dilancarkan pada 5 Mac lalu itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube BeeGood Music.

“Saya harap lagu ini diterima di seluruh peminat muzik tanah air, Singapura dan Indonesia,“ katanya yang bakal tampil dengan album zikir bersama artis-artis Beegood Music sempena Bulan Ramadan akan datang.