Yusuf Bahrin letak had
DEWASA ini, pendirian segelintir pelakon untuk tidak menjayakan babak bersentuhan mahupun yang terlalu mesra bukan lagi perkara baharu.
Bahkan landskap baharu ini sudah boleh diterima oleh penonton dan ramai yang berpendapat ia lebih sesuai untuk dipertontonkan kepada masyarakat.
Lebih-lebih lagi sekiranya seseorang itu sudah berumah tangga. Begitu jugalah yang dirasai oleh pelakon Yusof Bahrin yang meletakkan had batasan bersentuhan dalam lakonan.
Tidak merasakan ia sebagai satu masalah besar, Yusuf yang mula melonjak naik menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa mempunyai cara berbeza untuk mengekspresikan perasaan tanpa bersentuhan.
“Tidak dinafikan dulu sebelum berkahwin saya free and easy, tetapi tidak bermakna saya bersentuhan sebab masih menjaga batas sebagai Muslim.
“Bila dah berkahwin ini, saya mempunyai cara tersendiri untuk mengelak babak bersentuhan dengan memegang atau menarik beg, baju atau gunakan teknik kamera agar nampak seperti bersentuhan tetapi tidak.
“Saya lebih berhati-hati sebab perlu juga jaga hati isteri dan ia adalah kehendak saya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Jesnita di TGV Sunway Velocity, Cheras, baru-baru ini.
Ditanya dakwaan segelintir pihak yang mengatakan isterinya yang juga penyanyi, Zizi Kirana kuat cemburu dan sering mengawal tindak-tanduknya, bintang berusia 30 tahun itu menafikannya.
“Zizi tak pernah letakkan syarat tapi kami saling mengingati antara satu sama lain. Sejak dari awal perkahwinan, saya sering ajak Zizi ikut saya ke lokasi atau majlis jika dia cuti.
“Bukan nak tunjuk apa saya buat, tetapi daripada dia bosan keseorangan di rumah, baik dia temankan saya.
“Saya tak nafikan, Zizi juga wanita biasa yang ada rasa cemburu, tetapi bukan secara berlebihan. Bagi saya normal kalau manusia ada rasa cemburu, yang tak normal bila dia tidak kisah,” jelasnya.
Rezeki mencurah
Tambah Yusuf, dia tidak merasakan status sebagai suami menjadi keterbatasan dalam karier seninya dan mendedahkan rezeki selepas berkahwin semakin baik.
“Alhamdulillah rezeki lepas kahwin ini sangat baik, banyak tawaran yang masuk antaranya untuk tayangan Disney Hotstar, Astro dan sebuah filem dengan produksi luar negara.
“Cuma rezeki dapat anak belum lagi buat masa ini. Insya-ALLAH kami rancang untuk menimang cahaya mata tahun depan. Harap dipermudahkan dan ada rezeki buat kami,” tuturnya jujur.
Sementara itu, mengulas mengenai drama Jesnita yang bakal menemui penonton di Astro Prima bermula 7 November depan, Yusuf berkata, dia menjayakan watak sebagai Rafael.
“Rafael dalam drama Jesnita mempunyai semangat setia kawan yang sangat kuat terhadap Zainal. Rafael ini miskin dan terhutang budi dengan Zainal.
“Bagaimanapun satu tragedi menimpa Zainal disebabkan seorang wanita dan membuatkan dia mahu membalas dendam,” katanya yang menerima tawaran berlakon drama ini kerana kesanggupan penerbitnya, Haji Zeel menunggu selama sebulan dan watak yang menarik.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang