SELEPAS tiga tahun tidak beraksi di konsert berskala besar, kumpulan muzik terkenal 90-an, Slam, kembali dengan Konsert Slam Mentari Muncul Lagi pada 17 Januari 2021 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut pemain gitar utama, Shah atau nama penuhnya Shah Nizam Abdul Halim, Slam tidak mengambil masa lama untuk bersetuju dengan lamaran daripada penganjur, Shiraz Projects untuk mengadakan konsert itu.

Katanya, apa yang boleh dijanjikan, Konsert Slam Mentari Muncul Lagi ini akan tampil dengan kelainan terutamanya susunan muzik.

“Untuk konsert kali ini juga, kami akan menggunakan teknologi moden dengan menyelaraskan visual dan teknik pencahayaan. Rasanya ini merupakan batu loncatan untuk Slam memberikan satu perkara baharu untuk para peminat.

“Harapan kami agar Konsert Slam Mentari Muncul Lagi ini merupakan permulaan untuk konsert-konsert kami yang mendatang.

“Banyak perancangan yang sudah terkandas. Ini akan menjadi sebuah pengenalan yang Slam serius kembali dan juga hadiah buat para peminat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Slam Mentari Muncul Lagi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Zamani optimis menjayakan konsert itu biarpun menderita penyakit skoliosis yang menyebabkan tulang belakang melengkung.

Ujarnya, dia kini sedang menjalani rawatan chiropractic dan berharap dirinya akan berada di tahap terbaik semasa konsert itu nanti.

“Walaupun tahap kesihatan saya tidak berada dalam keadaan 100 peratus baik, namun ia tidak menganggu persiapan saya untuk konsert ini.

“Saya tidak rasa masalah sakit tulang belakang ini akan ganggu prestasi saya sebab sekarang pun saya masih lagi jalani rawatan chiropractic.

“Saya cuba pastikan pada malam konsert itu nanti kesihatan saya berada dalam tahap paling baik,” katanya.

Iklan

Konsert yang dianjurkan Shiraz Projects Sdn Bhd itu bakal memperlihatkan line-up Zamani bersama Shah (gitar), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass) yang akan membawa peminat mengimbau nostalgia masa lalu bersama kumpulan Slam yang ditubuhkan 1991.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Abdul Karim berkata, pihaknya sudah lama merancang untuk mengadakan konsert Slam dan impian itu akhirnya menjadi kenyataan.

Biarpun negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19, namun pihaknya tetap yakin untuk mengadakan konsert itu dengan mengikut segala prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Iklan

“Walaupun keadaan Covid-19 masih belum reda, kami ambil langkah berani dengan menganjurkan konsert ini. Jika keadaan tidak mengizinkan menjelang konsert itu nanti baharu kami guna pelan kecemasan,” jelasnya.

Konsert itu menawarkan tiket berharga RM700, RM360, RM260, RM200, RM160 dan RM130.

Sebarang keterangan atau informasi tiket, boleh layari www.myticket.asia.