PENYANYI Zamani yang telah selamat menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada Isnin lalu kini telah dibenarkan keluar hospital.

Berita tersebut dikongsikan isterinya, Juliana Abd Rani, yang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan mendoakan yang terbaik buat suaminya.

“Alhamdulillah Zamani telah dibenarkan keluar hospital petang ini. Saya dan Zamani ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor dan pasukan yang terlibat dengan pembedahan dan semua kakitangan Sunway Medical Centre Velocity.

“Terima kasih juga kepada semua yang mengambil berat dan mendoakan Zamani sepanjang beliau menjalani pembedahan sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Menerusi perkongsian sama di laman Instagramnya sebentar tadi, Juliana turut memuat naik video yang menyaksikan vokalis kumpulan Slam itu sudah boleh berjalan, meskipun masih dibantu kakitangan hospital.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Pak Nil (Datuk Aznil Hj. Nawawi), semua peminat-peminat, pihak media dan para penyumbang dana untuk Zamani.

Iklan

”Segala budi baik dan doa anda semua amat kami hargai sehingga akhir hayat,” katanya.

Terdahulu Zamani, 51, berhadapan masalah tulang belakang membengkok sejak beberapa tahun lalu dan keadaannya bertambah serius sehingga memerlukan menjalani pembedahan pada 7 November lalu.

Iklan

Penyanyi Gerimis Mengundang itu sebelum ini memaklumkan akan berehat seketika daripada kerjaya seni untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan yang akan mengambil masa antara dua hingga enam minggu.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Nur Juliana (@mrsj_zamani)