PELAKON dan penerbit terkenal, Datuk Ziela Jalil, tampil menjelaskan status sebenar dirinya yang sudahpun berkahwin buat kali kedua dan menjadi isteri kedua kepada suaminya kini.

Penjelasan itu dibuat Ziela atau nama sebenarnya, Norzilah Abdul Jalil, 51, berikutan pendedahan seorang wanita yang berkongsi perkara tersebut kepada umum menerusi laman Twitter miliknya baru-baru ini.

Akui pemilik syarikat produksi Pena Creative Sdn Bhd itu sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar, dia melangsungkan perkahwinan dengan pengerusi masjid, Datuk Syed Osman Al Habshee Syed Omar, 55, pada 17 Februari 2019.

“Kami hanya berkenalan lima minggu saja sebelum dia menyatakan hasrat untuk mengahwini saya.

“Bagi saya, keputusan berkahwin sekali lagi bukan keputusan mudah. Apatah lagi menjadi isteri kedua.

“Saya anggap ia adalah takdir dan jodoh. Kalau boleh diberi pilihan, saya pasti bukan ini pilihannya.

Iklan

“Mungkin ramai yang mempertikaikan keputusan ini. Jawapan saya mudah, kalau memang saya nak kahwin dengan suami orang, dari dulu lagi selepas arwah suami meninggal dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ziela yang sebelum ini sudah 11 tahun bergelar ibu tunggal kepada dua anak itu, berkata, bukan maksudnya untuk terus merahsiakan tentang perkahwinannya itu, tetapi menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi berita tersebut.

Iklan

Tambahnya, tindakannya itu mempunyai sebab yang tersendiri iaitu bagi menghormati keluarga pihak suaminya iaitu isteri dan anak-anaknya.

Terdahulu, Ziela mendirikan rumah tangga dengan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob pada 1991 dan dikurniakan dua anak iaitu Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah.