AKTOR Zul Ariffin membuat keputusan untuk berhijrah dan menetap di Makkah bermula Januari tahun hadapan bagi memberi tumpuan kepada perniagaan di sana.

Menurut Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, dia sudah lama merancang perniagaan tersebut dan merasakan sudah tiba masanya untuk melaksanakan impiannya itu.

“Saya memang sudah lama merancang perniagaan ini dan disebabkan ia bertapak di Makkah, maka saya buat keputusan untuk berpindah ke sana bagi memberi tumpuan kepada perniagaan yang baru bermula ini.

“Selain Makkah, saya juga akan ke beberapa negara lain lagi untuk memperkembangkan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharunya, Tablis Iblis di Panggung Asia, Gombak, pada Khamis.

Bagaimanapun jelas Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Sangkar itu, dia akan tetap berulang-alik ke Malaysia dan kerjaya seninya juga berjalan seperti biasa.

“Saya kenalah imbangkan antara kerja di sana dan kerjaya seni di Malaysia. Saya tidak akan perlahankan kerjaya sebagai pelakon.

Iklan

“Lagipun sudah ada banyak perancangan yang telah dibuat bersama pihak pengurusan di sini dan dengan situasi industri filem yang semakin rancak, rugilah kalau saya perlahankan karier seni saya,” jelasnya.

Tambah Zul, disebabkan akan lebih kerap berada di Tanah Arab, dia memilih untuk mengekalkan jambang termasuk dalam lakonan yang akan datang.

Iklan

“Janggut ini Insya-ALLAH saya tak akan buang. Jadi kalau ada tawaran, mungkin mereka kena terima syarat ini,” ujarnya yang mengakui sering disangka orang tempatan apabila berada di Makkah.

Tablis Iblis yang membariskan pelakon hebat lain seperti Nasha Aziz, Azira Syaninaz dan Jay Iswazir bakal menemui penonton di pawagam bermula 20 Oktober nanti.