BIARPUN pernah mengumumkan untuk menamatkan zaman bujang pada tahun 2020, aktor Zul Ariffin berkata, dia bersyukur kerana perancangan itu tidak berjalan kerana seperti yang dirancang.

Menurut Zul, penularan pandemik Covid-19 membuatkan dia mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu hasratnya itu.

Katanya, buat masa sekarang kerjaya masih menjadi keutamaannya dan dia belum mempunyai tarikh baharu untuk hari bahagianya itu.

“Ya, memang saya ada merancang untuk berkahwin tetapi saya bersyukur ia tak jadi. Waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) macam-macam kisah rumah tangga keluar.

“Buat masa ini, hubungan itu masih baik dan berjalan seperti biasa. Cuma buat masa sekarang saya nak fokus pada kerja dulu.

“Saya nak pastikan wanita yang akan menjadi isteri saya faham dengan kerja saya, pergaulan saya dan boleh buat saya pergi kerja dengan senang hati.

“Malah kalau dia berkahwin dengan saya, apa yang boleh dijanjikan, saya akan kerja keras tak kira apa pun untuk perhubungan kami,” ujarnya.

ZUL
Zul masih selesa merahsiakan identiti kekasihnya dan kini bekerja keras untuk memberi kehidupan yang lebih baik selepas mendirikan rumah tangga. (Foto : Instagram Zul Ariffin)

Ditanya mengenai situasi pandemik Covid-19 kini, aktor berusia 34 tahun itu berkata, tempoh PKP yang lalu memberi dia peluang untuk berehat lebih lama daripada kebiasaannya.

Menganggap apa yang berlaku sebagai hikmah di sebalik ujian, Zul mengakui lebih menghargai kerja dan kehidupan pada masa kini.

“Sesiapa pun tak pernah terfikir akan berhadapan dengan situasi sebegini. Melihat orang yang melalui tempoh sukar, dibuang kerja membuatkan saya lebih menghargai kehidupan dan kerja saya selepas mengharungi tempoh PKP.

“Selain menghargai peluang dapat duduk di rumah, saya ambil peluang untuk menilai diri saya apabila berhadapan dengan situasi sebegini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Zul, sebagai seorang yang sukakan privasi, dia menghargai masa yang ada untuk duduk berehat di rumah.

Namun dalam masa sama, dia juga tidak sabar untuk kembali bekerja.

“Tiga bulan duduk rumah, ia telah mengubah pandangan saya. Saya gunakan masa untuk buat aktiviti berfaedah dan elakkan diri saya terjebak dengan perkara tidak berfaedah.

“Kalau nak kata pendapatan terjejas, tak sangat kerana dari dulu saya memang jaga kewangan saya.

“Saya rasa bagi kami yang terlibat dalam dunia seni ini, tak perlu apa-apa virus pandemik pun, kalau tak ada panggilan, tak adalah kerja, kalau tak ada kerja, tak ada pendapatan.

“Jadi penting untuk menguruskan kewangan yang baik dan saya percaya, semua orang perlu melakukan perkara sama,” ujarnya.

zul
Dalam diam, Zul mempunyai perniagaan sendiri termasuk sebuah restoran yang baharu sahaja di buka. (FOTO : ROSLI TALIB – SINAR HARIAN)

Punya perniagaan

Tidak bergantung dengan pendapatan sebagai pelakon semata-mata, Zul mengakui mempunyai perniagaan berasaskan makanan.

Bagaimanapun tidak seperti selebriti lain yang gemar mempromosikan perniagaan dengan menggunakan nama sendiri, anak kelahiran Taiping, Perak itu mempunyai pandangan yang berbeza.

Iklan

“Saya memang ada beberapa perniagaan restoran, cuma saya tak pernah kongsikan. Saya memang pilih perniagaan yang tak memerlukan saya sebagai artis ke depan.

“Saya buka perniagaan bersama kakak saya dan kebanyakannya dia yang uruskan.

“Sebab utama saya rahsiakan adalah saya tak mahu disebabkan ada yang tak suka atau benci saya, jadi mereka tak mahu datang ke restoran saya sebab ia milik saya.

“Perkara paling penting sebelum membuka perniagaan adalah, saya ada pendapatan lain kalau apa-apa terjadi dengan karier saya,” jelasnya.

Sama seperti usahawan lain, Zul berkata, perniagaannya juga terjejas, namun sudah semakin pulih kini.

“Lebih terasa apabila kami baru sahaja membuka restoran Ramen Matsuri di Sunway Pyramid awal tahun ini.

“Tetapi Alhamdulillah selepas PKP, perlahan-lahan ia kembali okay,” katanya.

Iklan
zul
Kembali sibuk di set penggambaran, Zul mengakui jadual kerjanya sedikit terganggu akibat Covid-19. (Foto : Instagram Zul Ariffin)

 Projek istimewa

Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, Zul berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Wifi Sebelah Rumah dan bakal terlibat dengan projek istimewa, yang juga pembikinan filem mega, Juang.

Filem yang akan menampilkan enam pengarah bersama 100 pelakon dan lebih 200 kru itu dijangka akan memulakan penggambaran sebelum penghujung tahun ini.

Apa yang istimewanya, filem Juang diinspirasikan daripada penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

“Saya tak pasti lagi akan bekerja dengan pengarah mana dan bagaimana jalan ceritanya nanti. Tetapi saya teruja untuk terlibat dengan projek ini kerana kalau kita lihat filem luar mengenai penularan wabak atau bencana alam, kita tak rasa sangat sebab tak berada di sana.

“Kali ini memang kita sama-sama pernah lalui dan saya teruja ada orang filemkan kisah ini. Bukan saya tunggu, tetapi dah alang-alang ada peluang sebegini, kenapa saya perlu lepaskan,” ujarnya.

zul
Bersama barisan pengarah dan penerbit untuk filem Juang yang akan menyaksikan pembabitan enam pengarah, 100 pelakon dan 200 kru produksi. (Foto : Instagram Zul Ariffin)