Adik kini boleh bernafas sendiri, kondisi makin baik, Abdul Rahman berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia

“ALHAMDULILLAH, adik dah sedar dan boleh menggerakkan tangan.”

Itu perkongsian Abdul Rahman Amir Ruddin yang hilang insan tersayang sekelip mata apabila ibu, ayah dan empat adik maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan.

Dalam perkembangan terbaru adiknya Abdullah, 15 tahun yang sebelum ini dilaporkan parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat akibat kecederaan parah di bahagian kepala, usus dan paru-paru kini dikatakan dalam kondisi semakin baik.

Ujar Abdul Rahman, paling menggembirakan bila adiknya dapat memegang tangan ahli keluarga ketika melawatnya di ICU itu.

“Kami bersyukur dengan perkhabaran gembira itu. Sejak hari pertama kejadian, kami sentiasa berdoa semoga adik cepat sembuh kerana kami takut kehilangan seorang lagi ahli keluarga.

“Saya dimaklumkan, kebanyakan wayar yang dipasang di tubuhnya sudah dicabut. Cuma saya dimaklumkan adik akan menjalani pembedahan memasukkan besi di tangan pada 16 September ini,” katanya.

Baca juga Hilang 6 insan tersayang sekelip mata, Abdul Rahman ditaja umrah

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga turut mengambil kesempatan menzahirkan rasa syukur dan menghargai setiap pertolongan daripada rakyat Malaysia.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok, Abdul Rahman berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang datang menziarahinya, menghulurkan bantuan serta yang mendoakannya.

“Saya Abdul Rahman Amir Ruddin merupakan anak arwah kepada… senang cerita enam jenazah yang tular baru-baru ini.

“Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia sebab memang tak terhingga banyaknya doa-doa anda semua.

“Betullah seperti yang kata orang Malaysia ni memang prihatin. Terima kasih, sayang korang,” titipnya.

Dalam pada itu, remaja berusia 19 tahun itu juga menasihati warganet agar menyemak terlebih dahulu kesahihan sumber berita supaya tidak menyebarkan info yang tidak tepat.

Baca juga Al-Quran milik adik perempuan dipulangkan kepada Abdul Rahman, selitan nota ibu buat ramai sebak

Iklan

“Tujuan saya buat video ini adalah saya mahu betulkan apa yang salah. Sebab sekarang ini kuasa di hujung jari, benda yang tak betul jadi makin tersebar.

“Saya cuma nak minta kepada pengguna media sosial iaitu nurtizen, kalau nak sebarkan sesuatu perkara pastikan ia sahih dahulu,” pesannya.

Terdahulu, ibu bapa serta empat lagi adik kepada Abdul Rahman disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, ketika mereka dalam perjalanan untuk menghantar ibunya di Segamat.

Mangsa yang terlibat ialah Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, bersama empat lagi anaknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Iklan

Difahamkan, ibunya merupakan guru Sekolah Agama Semedak manakala bapanya merupakan seorang imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang.

Jenazah enam beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong pada petang Sabtu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!