MEMILIKI rambut lurus panjang mengurai, bertubuh langsing dan tinggi lampai membuatkan penampilan pelakon, Ain Edruce bagaikan jelmaan kepada artis dan peragawati, Noorkumalasari.

Tatkala mendengar usikan seumpama itu, selebriti berusia 29 tahun berkenaan tersenyum simpul dan tersipu-sipu malu. Masakan tidak, boleh dikatakan hampir kesemua ciri dimiliki Ain persis bintang legenda era-70an tersebut.

Sepertimana Noorkumalasari, pemilik nama sebenar, Nurulain Edruce juga memulakan karier seni sekitar tahun 2011 sebagai model sebelum mengembangkan sayap dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

ain edruce“Alhamdullilah, perjalanan rezeki dikecapi hari ini adalah berkat doa dan sokongan famili. Lebih mengujakan, kerjaya saya sedikit sebanyak bersangkut-paut dengan ilmu yang dipelajari di universiti.

“Walaupun sedang berbadan dua, saya bersyukur kerana masih menerima pelbagai tawaran khususnya hosting (pengacaraan), namun akan diperlahankan sebelum bersalin, insya-ALLAH pada Mei depan,“ katanya kepada SinarPlus selepas menyempurnakan rakaman program Melodi Xtra HyppSensasi Unifi di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

ain edruce
PENAMPILAN Ain yang sentiasa funky dan stailo sepanjang mengendalikan program Melodi Xtra HyppSensasi Unifi di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor.

Sepanjang sesi interviu pada petang tersebut, nampaknya Ain yang dilahirkan di Terengganu dan dibesarkan di Kuala Lumpur lebih teruja berceloteh mengenai fasa kehamilan cahaya mata sulungnya.

Isteri kepada Amirul Hafiz Mustaffa atau Amirul, 28, yang kini memasuki usia kandungan hampir tujuh bulan itu berkongsi cerita tentang keengganan dirinya dan suami untuk tidak mengetahui jantina bayi sehingga detik bersalin.

“Biarlah semuanya rahsia kerana saya ingin mencipta elemen kejutan. Sekurang-kurangnya tercatit memori indah dalam menanti kelahiran anak pertama kami, walaupun kadangkala perasaan ingin tahu itu membuak-buak.

“Memandangkan tidak tahu sama ada anak lelaki ataupun perempuan, maka saya dan Amirul memilih jalan selamat dari segi persiapan kelengkapan barangan bayi.

“Jadi untuk kelahiran pertama ini kami membeli produk bayi berasaskan rona putih kerana sesuai dipakai baik anak lelaki mahupun anak perempuan,“ ujar graduan Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor dalam nada ceria.

Waspada pandemik
Bercerita lanjut, anak ketiga daripada empat beradik itu menjelaskan, beliau tidak mengalami sebarang alahan teruk atau mengidam makanan pelik-pelik. Rutin hariannya berjalan seperti biasa, malah semakin hari semakin aktif bekerja meskipun sedang sarat.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar. Cuma daripada seorang yang ceria dan hati keras, saya bertukar menjadi lebih beremosi dan tersentuh hati. Contoh paling ketara, saya kerap menangis sedangkan tiada perkara menyedihkan berlaku.

“Bayangkan, bukan sahaja drama Inggeris dan filem Bollywood, malah filem perang pun air mata mudah mengalir. Pada masa sama, saya mengalami kesukaran tidur waktu malam kerana kondisi badan tidak selesa,“ ujar Ain yang memiliki ketinggian 171 sentimeter.

Ditebak soalan tentang perasaan paranoid apabila mengandung ketika dunia sedang dilanda virus Covid-19, pemilik suara serak itu menerima ketentuan dan rezeki ALLAH SWT dengan hati yang terbuka.

ain edruce
SEBELUM mengembangkan sayap dalam bidang lakonan dan pengacaraan, selebriti setinggi 171cm itu terlebih dahulu mencipta nama sebagai peragawati.

“Benar, siapa yang tak takut, apa lagi di dalam perut ini ada bayi. Berikutan itu, saya amat menitikberatkan perihal kesihatan dan sentiasa berwaspada memandangkan virus ini (Covid-19) tidak dapat lihat dengan mata kasar.

“Kalau teringin menikmati makanan tertentu pun saya elak singgah ke premis kerana bimbang lebih-lebih lagi kalau kawasan berkenaan zon merah. Lagipun sejak berkahwin, saya selalu makan di rumah, tambahan pula suami handal memasak.

“Pulang sahaja dari bekerja beliau (suami) akan segera ke dapur menyiapkan hidangan makan malam. Amirul juga memastikan menu disajikan mempunyai pelbagai zat untuk kebaikan saya dan bayi,“ katanya yang mengamalkan minum susu kambing sepanjang tempoh kehamilan.

ain edruce
MENURUT Ain (kanan), biarpun sedang hamil beliau tidak boleh duduk diam dan masih aktif bekerja, namun akan memperlahankannya tidak lama lagi.

Dari perspektif Islam mahupun saintifik, susu kambing baik diminum kerana menawarkan variasi manfaat. Ia juga merupakan minuman kegemaran Rasulullah SAW.

Sementara itu, kumpulan penyelidik antarabangsa juga menyifatkan, susu kambing mengandungi jumlah nukleotida semula jadi yang membantu meningkatkan sistem imun badan.

Bintang YouTube sebenar
Melayari laman sosial Instagram rasmi miliknya @ainedruce, rata-rata pengikut terhibur dengan keletah beliau yang gemar menyakat suami tercinta.

Boleh dikatakan baik video di YouTube mahupun klip berdurasi dua minit yang dimuat naik menerusi IGTV, macam-macam idea Ain ‘mengenakan‘ Amirul.

“Sebenarnya, bukan senang nak pujuk Amirul menjadi sebahagian content (kandungan) video. Maklumlah, beliau bukan anak seni dan kurang selesa berada di depan lensa kamera.

“Kalau diperhatikan kebanyakan reaksi wajahnya blur dan tiada perasaan sebab kena paksa. Kadangkala, Amirul pun malas nak layan perangai ‘gila-gila‘ saya semasa proses rakaman,“ tutur Ain dengan nada berseloroh sambil disusuli ketawa kecil.

Iklan
ain edruce
AIN (kiri) bersyukur menjadi isteri kepada Amirul yang disifatkan seorang suami bertanggungjawab dan sempurna pada pandangan matanya. 

Biarpun berlainan personaliti umpama konsep Yin dan Yang, namun perbezaaan itulah yang mencambahkan kasih sayang mereka berdua. Bagi Ain, dari sudut pandangan mata seorang isteri, Amirul disifatkan suami yang bertanggungjawab dan sempurna.

Bahkan, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu menganggap suaminya pembawa rezeki dan tuah dalam rumah tangga mereka yang dibina pada 13 Disember 2019.

“Saya sangat bersyukur apabila Amirul menerima diri ini seadanya dan sentiasa menyokong karier seni saya. Satu daripadanya, beliau sanggup membantu menjayakan pembikinan video yang disiarkan di channel Ain Edruce (YouTube).

“Lagipun maklum balas diterima sebahagian besar peminat sentiasa meminta saya menghasilkan video yang turut ‘dibintangi‘ suami. Percaya atau tidak, content melibatkan Amirul memperoleh jumlah tontonan lebih tinggi berbanding video-video lain.

“Barangkali, aksinya yang spontan, jujur dan bersahaja memikat hati penonton. Kadang-kadang saya tertanya dan keliru ini channel Ain Edruce atau Amirul?,“ katanya yang tampak stailo dalam persalinan sut rona coklat lembut pada petang itu.

Pun begitu, pelakon utama sitkom Jenaka Kampung Kalut: JKK berkenaan menjelaskan, meskipun hampir kesemua video yang dihasilkan memaparkan kisah kehidupan bersama suami dan famili, namun beliau tetap menjaga batas.

ain edruce
SELEPAS disahkan hamil, Ain Edruce memperlahankan aktiviti dalam dunia perlumbaan kereta di bawah program Toyota Gazoo Racing.

“Apa yang dilihat di media sosial itulah realiti aktiviti harian kami. Saya merakam video sekadar suka-suka sebagai kenangan dan boleh menonton semula pada bila-bila masa. Bukannya, untuk meraih perhatian warga maya.

Iklan

“Tidak dinafikan, segelintir penonton beranggapan ‘Ain Edruce‘ seorang yang terbuka untuk semua perkara, ironinya tidak. Saya akan berhati-hati elak berkongsi momen yang dirasakan terlalu peribadi termasuklah enggan merakam proses bersalin cahaya mata sulung nanti.

“Selain itu, biasanya sebelum atau selepas memuat naik video saya turut mendapatkan pandangan daripada keluarga dan rakan-rakan. Jika inti pati tidak sesuai, maka video terbabit segera dipadamkan sebelum mengundang celaan,“ ujarnya yang setakat ini telah berkongsi sebanyak 77 buah video dan mempunyai 571,000 jumlah pelayar di YouTubenya.

Sebelum mengundurkan diri, Ain sempat menitipkan pesanan: “Tiada salahnya menjadi influencer ataupun YouTuber, asalkan mesejnya sesuai ditonton pelbagai lapisan umur.

“Justeru, dalam keseronokkan menghasilkan video kita perlu memastikan jalan cerita dipamerkan tidak mengundang ketidakpuasan hati dan menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia.“

PROFIL

ain edruce
Nama: Nurulain Edruce
Nama karier: Ain Edruce
Umur: 30 tahun
Tempat lahir: Terengganu
Adik-beradik: Anak ketiga daripada empat beradik
Pendidikan:
– Sekolah Kebangsaan Convent Sentul, Kuala Lumpur
– Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Sentul, Kuala Lumpur
– Diploma Seni Muzik, UiTM Shah Alam, Selangor
– Ijazah Muzik Komposisi, UiTM Shah Alam, Selangor
Karier: Pelakon, pengacara, model, jurucakap produk
Inspirasi fesyen: Kendall Jenner
Antara drama:
– Gadis Semasa Sunsilk
– Kekasih Paksa Rela
– Kenyalang I’m In Love
– Suluhkan Aku Cahaya
– Siti Selfie
– Camelia
Instagram: @ainedruce (1.3 juta jumlah pengikut)

Foto: Asril Aswandi dan @ainedruce