Covid-19 : Badut hilang pendapatan tak duduk diam, kini usahawan air serbat

A
A
A

LENGKAP berpakaian sut badut, Yusmanizam Hassan menghiburkan orang ramai di Pasar Chowrasta yang bertempat di Pulau Pinang sambil menjual air serbat yang dibuatnya sendiri untuk menjana pendapatan.

Memetik laporan portal media tempatan, Yusmanizam, 34, juga dikenali sebagai ‘Yuyu the Clown’ berkata, pekerjaan sepenuh masanya itu terjejas akibat wabak Covid-19 dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, sebelum PKP dikuatkuasakan, Yusmanizam biasanya membuat persembahan sekurang-kurangnya di lima acara seminggu dan mampu memperoleh RM3,000 hingga RM4,000 seminggu.

“Bagaimanapun, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, saya hanya menerima tiga tugasan sahaja...benar, ia merupakan tamparan hebat buat saya,” katanya.

Justeru, dia membuat keputusan untuk menjual air serbat bagi menambah pendapatan dan isterinya pula memberikan idea untuk berpakaian seperti badut ketika menjual air yang popular di negeri ini itu, bagi menarik pelanggan.

Badut jual air serbat setelah pendapatan terjejas akibat Covid-19 bagi meneruskan kelangsungan hidup

Selain menjual di Pasar Chowrasta, Yusmanizam turut menjual air serbat yang dibotolkannya itu dari rumah ke rumah.

“Saya menjual air campuran khas ini di sekitar Teluk Bahang ke Balik Pulau di pulau. Kadang-Kadang saya menjualnya sampai ke Kepala Batas (di tanah besar),” katanya.

Beliau turut mempromosikan produknya itu secara dalam talian dan sambutannya amat menggalakkan.

Badut jual air serbat setelah pendapatan terjejas akibat Covid-19 bagi meneruskan kelangsungan hidup

“Jualan terbanyak yang saya dapat setakat ini ialah kira-kira 285 botol air serbat sehari,” katanya menambah sebotol air serbat berharga RM6 manakala dua botol dengan harga istimewa sebanyak RM10.

Yusmanizam berharap dapat kembali melakukan pekerjaan sepenuh masa sebagai badut apabila PKP berakhir, tetapi akan terus menjual air serbat sekiranya masih ada permintaan.

“Menjadi badut bukan sekadar hobi bagi saya, tetapi juga kerjaya dan selagi saya dapat melihat anak-anak gembira dengan persembahan saya, maka saya juga gembira,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca