DI sebalik kejayaan seorang lelaki, berdirinya seorang wanita di belakangnya. Begitulah kekuatan figura wanita bernama Nori Abdullah kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ).

Nama Nori Tun Abdullah tidak perlu dikenalkan lagi. Wanita berketurunan Arab-Cina-Jepun-Melayu itu adalah anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Endon Mahmood yang meninggal dunia akibat kanser pada 2005.

Kredit foto: Sinar Harian

Berkahwin pada 2001, KJ dan Nori dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Jibreil Ali, 15, Timor Abdullah, 14, dan Raif Averroes, 7.

Menjadi tulang belakang kepada perjuangan suami, Nori turut sama turun padang berkempen sempena pilihan raya yang bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Sungai Buloh.

Memetik laporan Sinar Harian, Nori kelihatan tidak kekok bergaul dengan masyarakat biarpun statusnya sebagai anak kepada bekas Perdana Menteri. Beliau bijak membawa diri.

Difahamkan ketika KJ berada di dalam restoran dengan para pemimpin komuniti, Nori berada di luar restoran untuk berbual-bual mesra dengan orang ramai yang tidak dapat masuk ke restoran yang agak sempit.

Nori juga ibu yang penyayang dan prihatin akan keperluan permata hatinya. Malah beliau tidak berselindung tentang anak keduanya, Timor yang menghidap autisme. Wanita berusia 46 tahun itu tidak pernah lelah mendidik dan memberikan perhatian buat anak istimewanya.

“Apabila Timor meltdown, saya dan suami kena pastikan kami yang bersedia dulu. Kalau dia meltdown kami tidak boleh terpengaruh sama. Tapi, iyalah kadang-kadang beliau meltdown, kita pun boleh terikut sama.

“Sebaik-baiknya dalam keadaan beliau sudah terlalu sedih, mengamuk atau sudah tidak tahan dengan rangsangan berlebihan, kita (ibu bapa) perlu tenang untuk memberi masa beliau tenteramkan diri sendiri atau dalam kata lain meluahkan perasaan dalam keadaan yang selamat,” katanya dalam temu ramah bersama Nona beberapa tahun lalu.

Tidak pernah dihimpit kontroversi, Nori yang kita kenali sangat sederhana tetapi sebenarnya mempunyai pencapaian yang mengagumkan.  Bersama ini SinarPlus kongsikan lapan info suri hati Menteri Kesihatan Malaysia ini:

1-Nori dilahirkan pada 24 Julai 1974.

2-Mempunyai kelulusan akademik dalam bidang Perhubungan Antarabangsa dari Syracuse University, New York, Amerika Syarikat.

3-Beliau memulakan kerjayanya di Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia pada tahun 1999.

Iklan

4- Pada tahun 2003, beliau menyertai Noordin Sopiee & Associates (NSA) yang menjalankan penyelidikan dan analisa politik hal ehwal semasa. Di NSA, Nori bermula sebagai timbalan editor dan kemudian dilantik sebagai editor pada tahun 2004.

5-Selepas Tan Sri Dr Noordin Sopiee meninggal dunia, Nori berkhidmat sebagai Pengarah Esekutif  di NSA.

6-Nori juga merupakan ahli pengasas Puteri UMNO, sayap wanita remaja UMNO.

7-Beliau merupakan ahli kepada Majlis Esekutif pergerakan tersebut bagi penggal 2002-2004.

8-Nori meyambung kesinambungan sebagai Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia yang diasaskan ibunya pada tahun 2000.

Iklan

Sumber: Sinar Harian, Nona

Foto: Instagram Khairy Jamaluddin, Yayasan Budi Penyayang Malaysia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi