McDonald’s taja, beri elaun belia minat ceburi industri khidmat makanan

July 1, 2020
Azimah

MEMPELAJARI kemahiran-kemahiran baharu dan membina kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan antara peluang baharu yang boleh diceburi belia.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, dengan standard dan kualiti perkhidmatan bertaraf antarabangsa terbaik yang dimiliki pihaknya, itu merupakan kelebihan dan kelainan yang ingin diketengahkan kepada golongan itu.

“Bagi pihak McDonald’s Malaysia, kami amat gembira dan berbangga kerana pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) telah memberi kepercayaan dan pengiktirafan kepada Akademi Vokasional McDonald’s.

“Ia menawarkan program pembelajaran berbentuk kemahiran kepada para pelajar kolej vokasional. Melalui program yang kami sediakan ini, ia mampu memberi lebih ramai golongan belia peluang untuk memenuhi potensi diri mereka,” katanya dalam kenyataan media kepada SinarPlus.

Beliau berkata demikian susulan McDonald’s Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mod Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) untuk pelajar peringkat menengah lepasan Tingkatan 3 baru-baru ini.

Melalui jalinan kerjasama strategik itu, pelajar kolej vokasional yang menyertai program yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia dalam bidang perkhidmatan makanan akan dianugerahkan dengan SKM Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Malaysia, setelah tamat program.

Pelajar ditaja

Azmir turut berkata bahawa kerjasama strategik ini untuk terus memainkan peranan dalam menyokong agenda kerajaan ke arah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

SKM dalam mod SLDN untuk kolej vokasional akan melibatkan pengambilan kumpulan rintis seramai 59 pelajar baharu.

Buat masa ini, Kolej Vokasional ERT Setapak merupakan satu-satunya kolej vokasional yang menawarkan program SLDN McDonald’s ini kepada belia lepasan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) yang berminat dalam bidang perkhidmatan makanan.

Program ini akan ditawarkan secara berperingkat di kolej-kolej vokasional terpilih di seluruh negara.

Pelajar kolej vokasional yang mengikuti program ini bakal ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia, termasuklah pemberian elaun bulanan RM1,200, tempat tinggal, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.

Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan RM30,000 untuk seorang pelajar. Setelah tamat program, dengan SKM Tahap 3 yang diperoleh, mereka layak mengembangkan lagi kerjaya di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini atau menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna bagi McDonald’s Malaysia, yang mana menjadi asas untuk golongan belia di Malaysia membina kerjaya yang bermakna.

“Atas saranan pihak Kementerian juga, kami membantu meningkatkan kemahiran tenaga pengajar di kolej-kolej vokasional melalui program Train the Trainers kami,” tambah Azmir.

Selain program yang ditawarkan kepada pelajar peringkat menengah di kolej vokasional ini, McDonald’s Malaysia mempunyai satu lagi program vokasional sedia ada yang ditawarkan kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program Perantis Vokasional McDonald’s yang diperkenalkan pada tahun 2018 merupakan latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah.

Program ini juga merupakan kerjasama McDonald’s Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia berdasarkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang telah diperkenalkan Kementerian.

Sehingga kini, seramai 49 graduan telah berjaya menamatkan program ini sementara 1,200 belia sedang mengikuti program ini.

Kepada belia di Kolej Vokasional yang minat kerjaya industri perkhidmatan makanan bolehlah intai-intai peluang ni ya. -AG #janganputusasamalaysia

Komen

About Azimah

Biodata Penulis