KELAZIMANNYA, awal minggu Ramadan kumpulan pereka fesyen sibuk menyempurnakan tempahan koleksi raya. Kadangkala tidak menang tangan apabila jumlah tempahan melebihi sasaran.

Namun begitu, situasi hari ini berubah 360 darjah. Tatkala negara ‘berperang’ dengan koronavirus Covid-19, majoriti pereka sanggup mengetepikan seketika busana glamor.

Mengambil keberkatan bulan baik ini, tumpuan mereka kini cenderung menyiapkan  set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan yang mengendalikan pesakit Covid-19.

Sinar Plus hari ini berkongsi cerita pereka fesyen tempatan, Calvin Thoo yang menjalankan tanggungjawab sosial menghasilkan PPE.

Matlamat pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur itu kini tertumpu pada penghasilan set PPE pasukan perubatan.

Bicara Calvin, 49, hatinya tidak tenang jika terus mempromosikan koleksi baju raya dalam keadaan negara dilanda wabak.

calvin thoo
CALVIN melupakan seketika busana raya demi melunaskan tanggungjawab menyiapkan PPE untuk pasukan perubatan yang mengendalikan pesakit Covid-19.

“Dalam situasi hari ini, lebih wajar saya menyumbang tenaga dan idea menjahit PPE. Lagipun inisiatif ini dilaksanakan selepas mendengar luahan hati sahabat yang berkhidmat sebagai kakitangan perubatan.

“Mereka melahirkan kebimbangan sekiranya set ini (PPE) yang wajib dipakai ketika mengendalikan pesakit Covid-19 kehabisan bekalan,” katanya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

Iklan

Justeru, Calvin yang berpengalaman selama hampir dua dekad dalam industri fesyen lokal terus mendapatkan sampel dan material daripada rakan pereka, Datuk Radzuan Radziwill dan Salikin Sidek serta pihak hospital.

Setakat ini beliau menghasilkan lima item PPE iaitu gaun, topi, sarung kepala, sarung but dan sarung kasut.

Iklan

Kelengkapan yang dihasilkan menggunakan fabrik tanpa tenun daripada serat pendek tersebut dibekalkan ke hospital sekitar Pahang dan Terengganu.

Selain itu, beliau turut merayu pembekal kain tanpa tenun tampil membantu membekalkan fabrik tersebut agar proses penghasilan PPE tidak terputus.