CHEF selebriti, Datuk (Dr) Cef Redzuawan Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Chef Wan berkongsi khabar duka yang dirinya disahkan menghidap kanser limfoma.

Perkara itu dikongsinya menerusi Instagram miliknya semalam.

Chef Wan didiagnos menghidap kanser itu selepas menjalani ujian electrocardiogram (ECG) di sebuah hospital petang semalam.

“Saya baru sahaja menjalani ujian ECG. Pada jam 3 petang doktor memaklumkan mengenai keputusan biopsi saya.

“Mereka perlu menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan itu. Saya sememangnya menghidap kanser limfoma.

“Saya perlu menjalani imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk melihat sama ada kanser ini sudah merebak ke organ lain termasuk menentukan ia di tahap berapa,” katanya.

Baca juga #SiBibirMerah: Puas berbakti kepada mak ayah, bila pergi tiada sesalan, Chef Wan jadi inspirasi

 

Bapa kepada dua cahaya mata itu memaklumkan kanser limfoma yang dihidapinya masih berada di peringkat awal memandangkan dia tidak mengalami sebarang simptom.

Dalam pada itu, peluang untuk dirinya sembuh juga besar iaitu sekitar 70 hingga 80 peratus dengan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran dalam jangka tempoh 13 minggu.

“Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan organ itu.

“Saya juga akan menjalani kemoterapi dan memulakan rawatan serta-merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu.

“Saya akan mula mengalami keguguran rambut selepas ini. Jadi, saya sudah bersedia untuk menggayakan rambut palsu seperti Elvis, M Daud Kilau, Samy Velu, Liberace dan ramai lagi,” tulisnya.

Iklan

Biarpun dalam situasi menggusarkan, Chef Wan dilihat kekal positif dan menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.

Baca juga Telatah lucu Chef Wan sakat anak menantu tapau makanan lepas beraya cuit hati warganet

“Inilah kehidupan… anda hanya perlu melaluinya dengan positif. Anak perempuan dan menantu saya sedih mendengar berita ini. Tetapi saya kata jangan menangis, saya belum pergi lagi.

“Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang. Insya-ALLAH, ALLAH akan jaga saya.

Iklan

“Terima kasih atas semua doa dan ucapan. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan,” tulisnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!