Dr Soo Wincci lali dilabel gila, pengajian tetap jadi keutamaan
“INI merupakan tahun keempat saya meraikan sambutan Tahun Baru Cina di perantauan tanpa famili di sisi.“
Demikian luahan hati Ratu Cantik Malaysia 2008, Dr Soo Wincci dalam satu sesi interviu eksklusif bersama SinarPlus secara maya baru-baru ini.
Biarpun butir bicaranya kedengaran tabah, namun jauh di sudut hati pelakon dan penyanyi itu pasti memendam kerinduan menebal terhadap ahli keluarga dan tanah air tercinta.
“Tidak dinafikan pada peringkat awal, lain rasanya, namun lama-kelamaan alah bisa, tegal biasa.
“Walaupun terpisah pada jarak yang begitu jauh, yang mana saya berada di Sepanyol manakala famili pula di Malaysia, namun platform digital banyak membantu kami mengeratkan hubungan jarak jauh kami sekeluarga,“ tutur Wincci yang akur dengan situasi sedemikian demi melunaskan tanggungjawab dalam pelajarannya.
Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus yang masih belum mengetahui, anak kelahiran Selangor itu berkelana di negara asing kerana sedang melanjutkan pengajian dalam peringkat Doktor Falsafah (PhD) keduanya dalam bidang Artistik Produksi di University of Polytechnic, Sepanyol.
Cerita ceongsam
Kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Persoalan itu dilontarkan kepada empunya badan.
Wincci terdiam sejenak sebelum mengiyakannya. Kata selebriti anggun itu, jurang perbezaan antara beraya di negara orang berbeza dengan di tanah air sendiri.
“Ya, sangat berlainan berbanding di Sepanyol. Perbandingan paling ketara adalah tiada acara makan besar melibatkan keluarga dan saudara-mara pada malam sambutan Tahun Baru Cina.
“Lagipun kelompok orang Asia khususnya masyarakat Cina di sini (Sepanyol) tidak ramai.
"Namun begitu, saya beruntung kerana kawan-kawan negara Barat akan datang menemani dan saya akan menyediakan pelbagai juadah untuk dinikmati bersama,“ ujarnya.
Ketika masih galak bercerita tentang sambutan Tahun Baru Cina. Kepada penulis, Wincci berkata, beliau sangat merindui momen beraya ketika zaman kanak-kanak.
Masakan tidak, pada usia seperti itu, sesiapapun akan menikmati keseronokan semaksimum mungkin dan tidak perlu memikirkan apa-apa. Pendek kata, fikiran tidak berselirat dengan pelbagai masalah ataupun hal-hal berat lain.
“Mungkin juga seperti orang lain, semasa kecil saya betul-betul meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga dan sepupu-sepapat. Ya, paling seronok pasti kumpul angpau dan menjamu selera.
“Menu wajib yang dihidangkan pastinya yee sang iaitu makanan tradisi masyarakat Cina. Percaya atau tidak, saya mampu habis semua hidangan itu,“ seloroh pelantun lagu Merai Perpisahan yang mempunyai tulisan tangan yang cantik.
Bagaimana pula dengan pilihan ceongsam Wincci tahun ini?
Mendengarkan persoalan itu dilontarkan, anak sulung daripada tiga beradik jujur mengakui dengan berkata: “Sejujurnya, berdasarkan trend hari ini, kami jarang menempah ceongsam, tetapi bagi menyemarakkan sambutan Tahun Baru Cina, maka ramai antara kami akan memakai busana berwarna merah kerana ia melambangkan ‘ong‘ atau tuah.“
Dilabel gila
Bicara kami kemudian beralih tentang bidang akademik yang menjadi kecintaannya sejak dulu lagi.
Meskipun bergelar selebriti dan mampu meraih pendapatan yang lumayan, beliau nampaknya tidak sesekali menafikan kepentingan pelajaran. Justeru, selayaknya beliau diangkat sebagai artis contoh yang memiliki pakej lengkap dari segi rupa dan ilmu.
Bayangkan, dalam tempoh 15 tahun, pelakon filem Kau Yang Satu itu telah menyempurnakan lima majlis graduasi!
Wincci juga mencatatkan pencapaian manis dalam portfolio dirinya apabila menerima dua pengiktirafan sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak daripada Malaysia Book of Records.
Selain Ijazah Undang-Undang di University of Reading, United Kingdom pada tahun 2007, Wincci juga berjaya memperoleh segulung Sarjana Pentadbiran Perniagaan, University of Sunshine Coast, Australia (2008).
Kemudian, tanpa lelah, beliau melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka, Kuala Lumpur pada tahun 2016.
Tidak berhenti setakat di situ sahaja, wanita setinggi 170 sentimeter itu juga mendalami ilmu Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi di Berklee Valencia, Sepanyol (2018) dalam peringkat Sarjana disusuli dengan Sarjana Fellowship Live Music Production di pusat pengajian yang sama dua tahun lalu. Aturan pengajian yang sungguh panjang, bukan?
Wincci memberitahu SinarPlus, meskipun dalam mood perayaan, beliau masih menumpukan perhatiannya untuk menyiapkan penulisan tesis PhD keduanya dalam bidang artistik produksi.
“Sebenarnya, setiap perkara yang kita lakukan pasti ada pasang dan surutnya tersendiri. Pernah pada satu tahap, saya hampir berputus asa untuk meneruskan pengajian kerana faktor tertentu, tetapi perasaan itu segera ditepis,“ katanya.
Ujar selebriti itu lagi, sifat cemburunya dengan sebahagian besar penuntut di luar negara yang menggenggam dua sarjana sekali gus sangat menebal.
“Disebabkan itu, tamat sahaja pengajian Sarjana Fellowship Live Music Production, saya terus mendaftarkan diri menyambung PhD kedua.
“Tesis kali ini saya memfokuskan kepada kajian berkaitan produksi artistik kerana ingin lebih mendalami ilmu muzik. Inisiatif ini selari dengan impian saya untuk melebarkan sayap dalam bidang seni termasuk menghasilkan lagu pelbagai bahasa.
“Saya yakin hasil kajian tersebut boleh diaplikasikan di tanah air terutamanya dari segi penghasilan dan produksi lagu untuk pasaran luar negara pada kos yang lebih rendah,“ ujarnya yang turut menghasilkan lagu Cut Away dalam empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Sepanyol.
Melihat intisari kesungguhan beliau, sememangnya dalam kamus hidup anak kepada pasangan, Soo Kim Sin dan Ting Siew Boon itu tidak pernah terbit istilah jemu untuk belajar selagi berupaya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai senario segelintir generasi muda yang obses menjadi selebriti sehingga sanggup mengabaikan pendidikan, Wincci menegaskan, beliau tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian.
“Tak boleh! Artis hari ini harus berpelajaran. Contohi semangat penduduk di luar negara yang mana kebanyakan penggiat seni memiliki kelulusan dari pusat pengajian tinggi. Tiada ruginya, kita belajar untuk bekalan masa depan.
“Pendidikan memainkan peranan utama dalam kehidupan yang membolehkan individu menerokai pelbagai bidang dengan lebih jauh.
Pada masa sama, ilmu juga membantu membentuk kita menjadi insan berguna, berkemahiran dan berpotensi,“ tegas beliau yang pernah dilabel ‘gila‘ lantaran masih melanjutkan pengajian sehingga ke hari ini.
Pandemik di Sepanyol
Sehingga kini, pandemik virus Covid-19 masih lagi menggila di kebanyakan negara di seluruh dunia. Di Sepanyol juga berdepan dengan situasi yang sama, kata Wincci.
Cerita pencinta nuansa biru itu, akibat wabak tersebut terutama di Valencia yang masih membimbangkan, kuliahnya terjejas.
Jika sebelum ini rutin hariannya menghabiskan masa berjam-jam di kampus, namun berikutan jangkitan virus di sana mencecah 15,000 kes setiap hari, maka sistem kelas bersemuka ditukar pada kelas dalam talian.
“Sepanyol masih lagi menjalani lockdown pada hujung minggu yang mana penduduk wajib berada di rumah setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bagi mengekang penularan kes.
“Pada fasa awal, rakyat Sepanyol sukar untuk mematuhi prosedur operasi standard sehingga tercetusnya demonstrasi dan mogok jalanan memandangkan mereka begitu teguh dengan hak asasi manusia.
“Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, warga tempatan akhirnya terpaksa akur mengikut saranan kerajaan memandangkan trend kes semakin menunjukkan peningkatan,“ katanya yang berasa bimbang berada di bumi Sepanyol sendirian saat negara itu mengalami kelumpuhan teruk kesan Covid-19.
Sehubungan itu, apabila tidak dibenarkan meninggalkan kediaman, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor itu banyak menghabiskan masa menyiapkan tesis.
Selain itu, beliau juga mengambil kesempatan memasak dan menulis lagu.
Sebelum menutup bicara, Wincci menitipkan ucapan khas kepada semua pembaca SinarPlus.
“Diharapkan Tahun Baru Cina 2021 sentiasa membawa tuah meskipun kita meraikan dalam suasana pandemik.
“Saya sentiasa mendoakan semoga negara segera pulih dari aspek ekonomi, kesihatan dan kembali menikmati kehidupan seperti biasa,“ katanya.
PROFIL
Nama: Soo Wincci
Umur: 35 tahun
Tempat Lahir: Selangor
Bilangan adik-beradik: Sulung daripada tiga beradik
Pendidikan :
Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Puay Chai, Petaling Jaya, Selangor
Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor
Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, University of Reading, United Kingdom
Sarjana Pentadbiran Perniagaan, University of Sunshine Coast, Australia
Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan, Universiti Terbuka, Kuala Lumpur
Sarjana Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi, Berklee Valencia, Sepanyol
Sarjana Fellowship Live Music Production, Berklee Valencia, Sepanyol
PhD Artistik Produksi, University of Polytechnic Valencia, Sepanyol (sedang menuntut)
Karier: Penyanyi, pelakon dan model
Pencapaian:
Ratu Cantik Malaysia 2008
Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dalam Malaysia Book of Records
Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dalam Malaysia Book of Records
Warna Kegemaran: Biru
Hobi: Masak
Tinggi: 170cm
Idola : Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin
Instagram: @dr.soowincci (195,000 jumlah pengikut)
Foto: Insan @dr.soowincci
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang