Bertenaga sepanjang hari walau berlapar, Dr ini saran amalkan konsep 2-4-2

No Image Caption
A
A
A

APABILA masuk sahaja bulan Ramadan, ramai yang mula slow down. Ada yang cepat letih, kurang fokus, malah ada juga yang jadikan alasan berpuasa sebagai sebab untuk tidak aktif.

Namun menurut doktor perubatan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, persepsi itu sebenarnya perlu diubah.

Dalam satu temu bual santai bersama SinarPlus, Dr Hafiz berkongsi, berpuasa bukan penghalang untuk kita kekal cergas dan produktif. Apa yang penting ialah cara kita mengurus pemakanan, waktu rehat dan rutin harian.

“Jangan jadikan tak makan dan tak minum sebagai alasan untuk lesu sepanjang hari.

"Badan kita sangat bijak menyesuaikan diri, asalkan kita beri ‘bahan bakar’ yang betul ketika sahur dan berbuka,” jelasnya.

No Image Caption

Menurut beliau, tip paling asas ialah memastikan pengambilan makanan berkhasiat. Karbohidrat kompleks seperti nasi perang atau roti gandum membantu membekalkan tenaga lebih lama.

Protein pula penting untuk mengekalkan jisim otot dan membuatkan kita rasa kenyang lebih lama.

“Jangan lupa vitamin dan mineral daripada sayur-sayuran serta buah-buahan. Lemak sihat juga perlu, tetapi dalam kuantiti sederhana,” tambahnya.

Beliau turut menasihatkan agar mengelakkan makanan terlalu manis ketika berbuka kerana lonjakan gula mendadak boleh menyebabkan badan cepat letih selepas itu.

Senaman berat

Ramai beranggapan bersenam ketika bulan puasa boleh memudaratkan.

Hakikatnya, kata Dr Hafiz, aktiviti fizikal ringan sangat digalakkan bagi membantu meningkatkan metabolisme badan.

“Tak perlu buat senaman berat. Cukup berjalan kaki, regangan atau senaman ringan selama 20 hingga 30 minit.

"Waktu terbaik? Sekitar 30 hingga 60 minit sebelum berbuka atau satu hingga dua jam selepas makan apabila makanan sudah mula dihadam.

"Ini membantu badan kekal aktif tanpa risiko keletihan melampau," kongsi beliau lagi

Sahabat paling setia

Dehidrasi antara punca utama badan rasa lemah. Dr Hafiz menyarankan pengambilan air kosong yang mencukupi antara waktu berbuka hingga sahur.

“Amalkan konsep 2-4-2. Dua gelas ketika berbuka, empat gelas antara berbuka dan sebelum tidur serta dua gelas lagi ketika sahur,” ujarnya.

No Image Caption

Beliau juga menasihatkan supaya mengurangkan minuman berkafein seperti kopi dan teh kerana ia boleh mengganggu penyerapan nutrien dan meningkatkan risiko kehilangan cecair.

Selain pemakanan dan senaman, kualiti tidur juga memainkan peranan penting. Ramadan sering mengubah jadual tidur, jadi pastikan mendapat rehat mencukupi sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam sehari.

“Kalau perlu, ambil power nap 20 minit pada waktu tengah hari untuk cas semula tenaga,” katanya lagi.

Tip tambahan kekal bertenaga sepanjang Ramadan

* Mulakan berbuka dengan kurma dan air bagi menaikkan tenaga secara perlahan.

* Elakkan terus makan berat dalam kuantiti banyak sekali gus.

* Kurangkan makanan bergoreng dan terlalu berempah waktu sahur.

* Ambil makanan berserat tinggi supaya kenyang lebih lama.

* Berjalan ringan selepas berbuka untuk bantu penghadaman.

* Hadkan skrin telefon sebelum tidur bagi tingkatkan kualiti rehat.

* Tetapkan jadual tidur yang konsisten sepanjang Ramadan.

* Jangan tinggal sahur walaupun hanya makanan ringkas.

No Image Caption

Kesimpulannya, Ramadan bukan alasan untuk lesu. Dengan perancangan yang betul, pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif, kita bukan sahaja mampu kekal cergas, malah boleh menjadikan bulan penuh keberkatan ini sebagai titik mula kepada gaya hidup yang lebih sihat.

Kekal sihat, kekal bertenaga dan manfaatkan bulan mulia ini sebaiknya!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang