"Jujur saya terkesan isu itu, namun kita jangan mudah menghukum seseorang"- Fazura
BAGI seorang wanita, tiada momen yang lebih membahagiakan selain dipertemukan dengan jodoh pilihan hati, disatukan dan kemudian dianugerahkan cahaya mata.
Biarpun kadangkala proses kehamilan memicu ketidakselesaan fizikal, namun itulah kemanisan terindah yang dirasai oleh bakal ibu.
Detik istimewa itulah yang sedang dirasai pelakon dan penyanyi terkenal negara, Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin.
Jelas, wanita yang berusia 37 tahun itu, beliau kini berada dalam fasa menanti kehadiran anak sulung, hasil benih cinta bersama suami yang juga selebriti popular, Fattah Amin, 30.
Dijangka bakal melahirkan zuriat pada 21 Oktober depan, pelakon Gol & Gincu tersebut menyifatkan perasaannya bercampur-baur.
“Keterujaan dirasai berselang-seli dengan mood mendebarkan. Namun, saya enggan stres kerana ingin menikmati momen kehamilan dengan sebaik-baiknya. Saya sentiasa berdoa agar proses kehamilan dan bersalin berjalan lancar.
“Saya bersyukur kerana perjuangan ini (hamil) bukan sahaja mendapat sokongan daripada suami, malah ibu dan mak mertua turut mengambil berat. Saya juga sangat bersyukur apabila dilimpahi dengan kasih sayang,“ kata pemilik jenama fesyen Fazbulous itu ketika ditemui SinarPlus pada Majlis Pelancaran Fazura Skincare di Sungai Buloh, Selangor minggu lalu.
Melihat keadaan dirinya yang kekal aktif di atas pentas meskipun usia kandungan sudah memasuki lapan bulan, Fazura mendedahkan, kekuatan dan semangat itu lahir daripada minda yang positif. Ia umpama teori bijak pandai duniawi yang berkata, fikiran positif memangkinkan tindakan dan refleksi keperibadian jitu seseorang.
“Biarpun hamil, saya nampaknya susah untuk duduk diam. Ada sahaja perkara yang nak dilakukan. Otak ini asyik memikirkan kerja, kerja dan kerja (ketawa). Pernah juga terdetik mahu melunaskan semua tugasan yang difikirkan selepas bersalin, tetapi saya jadi stres apabila hanya ‘goyang kaki‘ di rumah.
“Sebab itu, saya proaktif menyempurnakan banyak hal selagi berdaya, asalkan tidak menjejaskan kesihatan diri dan bayi. Jika bayi dalam kandungan tak bergerak, maka saya tahu dia penat, tetapi sekiranya dia okey, maknanya anak selesa dengan mummynya yang bergerak aktif ke sana dan ke sini,“ tuturnya yang mengakui tidak mengalami
kenaikan berat badan yang terlalu drastik.
Fazura yang kelihatan anggun dalam persalinan dres nuansa merah jambu rekaan Rizman Ruzaini menjelaskan, seperti ibu-ibu lain, beliau bercadang menjalani rutin berpantang selama 44 hari.
“Sepanjang tempoh terbabit, saya akan berusaha mengembalikan bentuk badan dan siap siaga dari segi mental dan fizikal sebelum kembali bekerja,“ katanya.
Bintang kesayangan ramai itu bakal memiliki anak perempuan atau lelaki? Oh! Ia masih menjadi rahsia Fazura dan Fattah.
Kesabaran suami
Sukar untuk menidakkan emosi wanita berbadan dua yang selalunya tidak menentu. Daripada emosi sedih atau amarah kadangkala boleh bertukar menjadi teruja atau riang pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Sentimen itu normal dan bukan sesuatu yang luar biasa.
Fazura juga tidak terkecuali berdepan dengan hal-hal sedemikian.
Kata pendukung utama filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia: “Benar, tak dinafikan pada awal kehamilan, saya cukup cerewet soal pemakanan.
Namun Fattah sentiasa bersabar dengan kerenah saya sehingga sanggup melunaskan apa sahaja kemahuan saya, asalkan saya gembira.
“Pernah berlakunya satu momen saya pesan roti sandwich tanpa mayonis, tetapi yang dibawa pulang pula sebaliknya.
Melihat sahaja sos itu (mayonis) saya terus menangis dan sedih tiba-tiba. Enggan membiarkan saya terus dirundum kesedihan, Fattah segera keluar membelikan roti baharu.“
Dalam pada itu, selebriti jelita itu turut menzahirkan kesyukuran kerana tidak mengidam makanan yang pelik-pelik, tetapi mengalami perubahan selera makan.
“Saya seorang pencinta makanan kampung, namun sepanjang tempoh mengandung, tekak tidak boleh menikmati lauk-pauk berkenaan,“ akui anak kelahiran Pekan, Pahang tersebut.
Pengakuan eksklusif
Ketika galak bercerita tentang fasa kehamilannya, reaksi wajah gembira yang dipamerkan sebentar tadi pantas bertukar duka. Beliau diam seketika. Barangkali figura itu tersentak tatkala penulis mengajukan soalan berkaitan isu pembuangan bayi.
“Perkara ini (kes buang bayi) sentiasa bermain di benak fikiran saya. Kadangkala saya tertanya-tanya juga bagaimana seorang ibu yang telah bergadai nyawa mengandung dan melahirkan anak, tegar membuang zuriat sendiri? Tambahan pula di lokasi-lokasi yang tak sepatutnya.
“Bukankah lebih baik bayi itu diletakkan di pusat pelindungan bayi. Sekurangnyakurangnya di sana mereka menawarkan fasiliti ditambah ada pihak yang bertanggungjawab mengendali dan menjaga kondisi anak-anak berkenaan,“ luah beliau yang sangat terkesan dengan kes pembuangan bayi yang banyak dilaporkan melalui media sosial dan cetak.
Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan kewujudan peti pelindung bayi (baby hatch) hasil kerjasama pihak hospital, yayasan ataupun badan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan bukan menggalakkan kes pembuangan bayi, sebaliknya menyelamatkan bayi yang diabaikan.
Inisiatif berkenaan antara lain menjadikan pusat berkenaan sebagai transit kepada bayi ditinggalkan atau sebelum diambil sebagai anak angkat, sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak membesar dalam institusi kekeluargaan.
Fazura memberitahu secara eksklusif kepada SinarPlus, beliau ingin melakukan sesuatu bagi membantu mengekang perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.
“Insya-ALLAH selepas bersalin dan jika diberikan peluang, saya ingin bekerjasama dengan pihak NGO untuk mengatasi kes pembuangan bayi. Seperkara lagi, sebagai manusia, bagi saya, jangan mudah mengecam dan menjatuhkan hukum kepada individu yang bertindak sedemikian kerana kita sendiri tidak tahu hujung dan pangkal.
“Jalan yang paling saksama, kita sama-sama berganding bahu mencari solusi terbaik bagi memelihara bayi yang tidak berdosa,“ kata pelantun lagu Sayangi Dirimu itu dengan penuh iltizam.
Bukan produk timbang kilo
Fazura sememangnya dikenali sebagai selebriti yang komited, kreatif, berdaya saing dan memiliki minda bisnes.
Ya, selepas lebih tujuh tahun menyerikan pelbagai produk kecantikan baik jenama antarabangsa mahupun lokal, Fazura nampaknya menginjakkan dirinya maju ke hadapan lagi.
Puas menjadi jurucakap kepada jenama terkenal seperti Nutox dan duta Avon Cosmetics, beliau kini menambah portfolio baharu dengan melancarkan rangkaian set penjagaan kulit wajah di bawah jenama, Fazura Skincare.
Tutur beliau, idea untuk mengeluarkan bingkisan istimewa itu tercetus selepas para peminatnya acapkali mencadangkan supaya dirinya menghasilkan produk sendiri.
“Mereka (peminat) sering meminta saya berkongsi rejim penjagaan yang diamalkan kerana menyifatkan kulit wajah saya tampak muda remaja dan berseri. Bahkan, lebih mengharukan, terdapat peminat meminta saya mengeluarkan set penjagaan wajah sendiri.
“Sejujurnya saya tidak pernah mengambil ringan dan begitu teliti tentang aspek penjagaan kulit wajah. Usai menjalani sebarang penggambaran misalnya, saya akan memastikan olesan solekan tebal dicuci bersih. Langkah ini dilakukan secara konsisten supaya kulit wajah sentiasa berada dalam kondisi yang baik,“ ujar beliau sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun.
Ditanya keistimewaan set Fazura Skincare, pelakon filem Pisau Cukur meneruskan celotehnya dalam nada teruja.
Memasang impian untuk membantu individu mengatasi masalah kulit wajah termasuk kulit berjerawat, Fazura berkata, beliau amat menitikberatkan ramuan yang digunakan.
“Produk saya berasaskan formula semula jadi yang berkualiti tinggi. Antaranya mengandungi ekstrak black oat (avena strigosa) yang membantu menambahbaik dari segi hidrasi kulit untuk tempoh berpanjangan.
“Selain itu, cynanchum atratum juga menjadi pilihan utama. Ia merupakan sejenis ekstrak perubatan Korea yang membantu menghalang masalah radang, sekali gus memberi kesan mendalam untuk penjanaan semula kulit wajah.
“Kombinasi unik dua ramuan ini secara tidak langsung menjadikan Fazura Skincare berbeza dengan jenama produk penjagaan kulit wajah lain di pasaran,“ jelas beliau mengenai Fazura Skincare yang terdiri daripada pencuci, skrub, krim siang, krim malam dan serum.
Produk yang dijamin selamat digunakan untuk wanita hamil juga dijual pada harga RM89.90 melalui stokis berdaftar di seluruh negara.
Sebelum menamatkan bicara, Fazura sempat menjawab soalan nakal secara berhemah. Menurut pelantun lagu, Can‘t Forget Me yang telah dimainkan lebih tujuh juta kali menerusi beberapa platform itu:
“Saya sedikitpun tidak ambil peduli atau terasa hati dengan dakwaan sesetengah pihak mengatakan Fazura Skincare adalah produk timbang kilo.“Lagipun selain menggunakan bahan berkualiti ia juga dihasilkan mengikut standard ditetapkan termasuk terlibat dalam proses penyelidikan, pembangunan hingga peringkat pembungkusan.
Foto: Instagram @missfazura dan Universal Music
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang