Graduan kejuruteraan kayuh basikal jual Teh Masala, tak sangka tular, kini mampu jual 500 cup sehari!

A
A
A

DI mana ada kemahuan di situ ada jalan! Pepatah Melayu itu memberi maksud sekiranya seseorang itu bersungguh-sungguh dalam mengusahakan sesuatu atau berusaha sehabis baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah, pasti akan mampu melaksanakannya.

Ya! Perkara itu telah dibuktikan oleh Kavievanan Subramaniam yang merupakan seorang graduan bidang kejuruteraan kini mencari rezeki menjual Teh Masala dengan menggunakan basikal.

Bukan satu perkara yang mudah untuk dilakukan yang mana berniaga dengan mengayuh basikal sambil membawa tong air panas berisi minuman Teh Masala seberat 20 liter di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur setiap hari.

Namun, Kavievanan membuktikan ia tidak mustahil jika kita bersungguh mengusahakannya. Pemuda berusia 23 tahun itu cekal mencari rezeki dengan konsep perniagaan sebegitu walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang kini sedang ‘menggila’ menyerang negara malahan dunia menyebabkan hasratnya untuk mencari pekerjaan menjadi seorang jurutera terbantut.

Kavievanan juga mengakui situasi kini menyebabkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan agak sukar selepas banyak syarikat memberhentikan pekerja ekoran terkesan dengan Covid-19.

Ternyata Kavievanan tidak akan ‘duduk diam’ dan sejak Mei lalu dia memutuskan untuk memulakan perniagaan menjual Teh Masala Chai di sekitar Brickfields.

Graduan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu akan memulakan jualannya sekitar jam 3 hingga 6 petang dengan menggunakan basikal sekitar Brickfields sambil membawa bekas Teh Masala Chai.

Untuk pengetahuan, Teh Masala cukup popular dalam kalangan masyarakat India. Ia bukan teh biasanya sebaliknya penghasilannya melalui proses campuran khas bersama kayu manis, halia, lada, kapulaga, susu sejat dan susu pekat yang perlu dididihkan selama dua jam.

“Selepas siap dimasak, saya akan menuangnya ke dalam tong air panas dan membawanya menaiki motosikal ke kedai.

“Basikal yang telah diubah suai khas untuk membuat jualan pula saya parkir dan kunci di belakang kedai,” katanya.

Kavievanan akan mengayuh ke kawasan sekitar untuk menjual 20 liter Teh Masala Chai yang dibuat setiap hari dan dijual dengan harga RM1 secawan.

“Tak sangka juga usaha saya kini mendapat perhatian ramai sehingga tular. Terima Kasih juga kepada pihak media yang sudi menemu bual sehingga saya dikenali ramai.

“Hasil jualan saya setelah tular juga meningkat, saya mampu menjual 500 cup setiap hari yang mana sebelum ini purata jualan sebanyak 100 hingga 200 cup sahaja,” katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Menurut Kavievanan lagi, ada juga antara pelanggannya yang datang dari Shah Alam, Klang dan juga Ipoh hanya untuk merasai Teh Masala Chai yang dijual.

“Saya berharap suatu hari nanti saya mampu untuk mendapat sebuah kedai untuk berniaga dan meluaskan lagi perniagaan saya.

“Bagi yang ingin merasai Teh Masala Chai saya juga dijemput untuk datang dan saya berjanji akan hidangkan semua pelanggan saya kualiti yang terbaik dengan harga yang sangat berpatutan.

“Saya juga mengambil kesempatan ini menyeru semua rakyat Malaysia supaya jangan berputus asa jika kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan disebabkan oleh covid-19.. buat sahaja apa yang anda minat janji halal! Rezeki itu hadir kepada mereka yang berusaha bukan untuk mereka yang berputus asa,” katanya penuh optimis mengakhiri perbualan.

Syabas anak muda. Semoga maju jaya!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca