Guna kaedah fertigasi dan polibeg, lelaki ini kongsi cara tanam golden melon di rumah, tetap subur dan hasilnya menjadi!
Guna kaedah fertigasi dan polibeg, lelaki ini kongsi cara tanam golden melon di rumah, tetap subur dan hasilnya menjadi!
BERBAKTI kepada tanah memang banyak manfaatnya. Apabila berbuah, boleh dituai dan dinikmati bersama. Jika rezeki lebih, boleh menjana pendapatan pula.
Pun demikian, kita kena tahu teknik dan cara betul, barulah hasilnya menjadi.
Perkongsian Yazid Nazry's menerusi laman Facebooknya bagus untuk dijadikan panduan.
Beliau mencuri perhatian ramai apabila memuat naik gambar hasil tanaman golden melon yang diusahakan di sekeliling rumahnya.
"Saya mula menanam di rumah ini semenjak gelombang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Bermula sebagai hobi dan pada masa sama, mahu belajar benda baharu.
"Saya tidak sangka apa yang saya lakukan ini menjadi pendapatan tambahan saya sekarang. Antara jenis golden melon yang saya usahakan adalah seperti chanchai, khaitongkham dan R41 serta sejenis lagi melon sweet emerald Malaysia," katanya.
Ujar Yazid, beliau telah memanfaatkan setiap ruang di sekeliling rumah yang nampak terhad pada masa itu.
Ia bermula dengan keluasan 1.2 x 5 meter sebelum lelaki itu dapat peluang berpindah di rumah yang mempunyai bidang yang lebih besar.
"Dari situlah, saya dapat tingkatkan jumlah tanaman," ujarnya ketika diwawancara SinarPlus.
SISTEM MINI FERTIGASI
Bercerita lanjut, Yazid berkata, hanya bermodalkan RM100, beliau memulakan tanaman dengan menanam 10 batang pokok melalui sistem mini fertigasi.
"Saya kemudiannya menambah bilangan pokok sedikit demi sedikit dan menaik taraf sistem tanaman. Buat permulaan, saya menanam 10, 15, 30 hingga 200 pokok dan akhirnya kini sudah mencecah 900 pokok," katanya yang mengakui mempelajari cara menanam golden melon hanya menerusi media sosial sahaja.
Setiap bidang pasti ada cabaran yang menanti, demikian juga menurut Yazid yang perlu bijak membahagikan masa. Sementelah, beliau punya kerjaya tetap dan berkebun hanyalah sebagai sampingan sahaja.
"Tanam pokok ini memang sangat mencabar tapi disebabkan minat, saya teruskan juga. Cuma, cabaran pertama adalah dari segi kekangan masa memandangkan saya ada kerjaya tetap. Justeru, saya hanya ada masa sebelum dan selepas waktu kerja sahaja untuk 'membelek' tanaman," katanya.
Ditanya tentang tip menanam tanaman itu, Yazid memberitahu, golden melon amat sensitif dan tidak boleh terdedah dengan hujan yang berterusan.
"Kebetulan, saya mempraktikkan konsep tanaman secara terbuka. Itu juga menjadi satu rintangan kerana saya perlu mengawasi pokok setiap hari. Buah ini juga bukan jenis tanaman yang kita 'tanam dan tinggal'," ujarnya.
Berkongsi lagi petua, Yazid mendedahkan, beliau turut mempraktikkan sistem fertigasi. Bagaimanapun, tuan punya badan akan sentiasa memperbaiki kaedah penanaman dari semasa ke semasa.
"Kali ini, saya terapkan kaedah HDP iaitu High Density Planting yang mana ia memaksimumkan ruang yang ada. Melalui kaedah ini, saya menggunakan polibeg bantal sebagai alternatif sekali gus dapat membantu menjimatkan pengunaan baja," jelas Yazid yang turut menanam menanam sayur-sayuran seperti kobis, salad, cili,terung, timun, jagung, sawi dan pelbagai lagi.
Sumber gambar: Yazid
Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang