MENYAMBUT ulang tahun hari lahir dengan orang yang tersayang terutamanya pasangan suami isteri pasti menjadi memori terindah dalam hidup.

Oleh itu, setiap kali tiba hari kelahiran pasangan , mesti kita akan beri hadiah yang terbaik untuk dia. Siapa tak nak lihat orang yang kita sayang gembira kan?

Itulah yang dilakukan oleh pasangan suami isteri, Aida Hassan apabila beliau membuat kejutan pada hari kelahiran suaminya ke-34 tahun dengan menghadiahkan jambak bunga diperbuat daripada wang kertas bernilai not RM100. Kenangan terindah tersebut dikongsi kepada umum di laman Facebook miliknya.

Kreatif bukan? Lebih meriah dan menjadi bualan warganet bukanlah kejutan atau sambutan yang dibuat oleh beliau tetapi jumlah keseluruhan duit yang digubah menjadi jambangan bunga tersebut dikatakan bernilai RM34,000. Ya! Bukan satu jumlah yang kecil, boleh dapat sebuah Honda Jazz Hybrid tahun 2014 tau!

Hadiahkan suami gubahan sejambak bunga sama nilai dengan sebuah Honda Jazz!

Seperti yang dijangka, posting tersebut kini menjadi tular. Rata-rata warganet meluahkan pelbagai reaksi dan pandangan masing-masing berkenaan kejutan yang dilakukan Aida.

Walau apa pun pandangan orang ramai, SinarPlus percaya tujuan Aida adalah untuk mengembirakan suaminya dengan membuat sedikit kelainan berbanding dengan pasangan lain.

Menurut Aida, sepanjang hubungan mereka selama sembilan tahun, ini bukanlah kali pertama beliau membuat kejutan hari jadi buat suaminya. Boleh dikatakan setiap tahun Aida akan sentiasa memastikan akan ada kejutan yang akan dibuat.

Bagi yang tidak berkemampuan, usah risau dan memaksa diri atau nak ikut trend seperti ini, keikhlasan hadiah itu lebih penting. Walau hanya dengan ucapan “Selamat Hari Jadi Sayang” pun sudah cukup buat pasangan kita rasa dihargai.

Iklan

Namun bagi Aida, jumlah itu bukan jadi ukuran sebaliknya kasih sayang suaminya bernama Azmir Ramli yang sanggup susah senang bersama dan sentiasa ada pada saat jatuh dan bangunnya dalam mengenal erti kehidupan.

Betullah tu apa yang dikatakan oleh Aida, sentiasa bersama mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran akan membuatkan pasangan kita lebih menghargai satu sama lain.

Iklan

Nampak senang dan mudah tapi banyak pasangan di luar sana terkandas ketika perhubungan itu diuji. Ujian juga datang dalam pelbagai cara.

Ada yang diuji dengan kemewahan, jika leka dan tidak jujur pastinya dengan kemewahan tersebut juga mampu meretakkan hubungan kekeluargaan.

Apa-apa pun tahniah Aida! Semoga perkahwinan Aida bersama suaminya akan kekal hingga ke jannah!