Keadaan terkini @Hafizh_pescao55. Boleh senyum siap bagi thumbs up 👍🏻 tu lega dah kami. Rest well & speedy recovery

Begitu hantaran di Twitter, Team Malaysia @TeamMsia semalam berhubung keadaan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah susulan kemalangan ngeri didepaninya di Grand Prix Austria.

Syukurlah apabila dapat melihat keadaan Hafizh yang baik dan tersenyum dalam video dikongsikan itu apabila menunjukkan tanda bagus dengan mengangkat ibu jari atau orang kita panggil jempol.

Mewakili Team Aspar Racing, Hafizh mengalami kemalangan Ahad lalu setelah merempuh jentera pelumba Itali, Enea Bastianini daripada Italtrans Racing Team, yang terjatuh setelah gagal mengawal jentera yang ditunggangnya itu.

Kemalangan turut membabitkan dua lagi pelumba; Edgar Pons dari Sepanyol dari pasukan Federal Oil Gresi dan Andi Farid Izdihar dari Indonesia (Idemitsu Honda Team Asia).

Menerusi tangkap layar yang dimuat naik Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali, turut mengesahkan pelumba berusia 26 tahun itu tidak mengalami kecederaan serius akibat kemalangan berkenaan.

Terdahulu, semasa kemalangan Enea sempat meninggalkan trek dengan segera sebelum dirempuh pelumba-pelumba lain termasuk Hafizh Syahrin.

Hafizh Syahrin mengalami kemalangan di perlumbaan Moto2 di Austria.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Twitternya juga mengesahkan Hafizh Syahrin dalam keadaan sedar.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan wakil kementerian di Austria untuk memberi sebarang bantuan.

“Saya baru terima khabar tentang kemalangan @Hafizh_pescao55 daripada Dato Razlan Razali sebentar tadi dan alhamdulillah, beliau dalam keadaan sedar,” katanya semalam.

Lapor Sinar Harian, Pengetua Petronas Yamaha Sepang Racing, Datuk Razlan Razali yang berada di trek memberitahu bahawa Hafizh nampaknya terlepas daripada kecederaan serius.

Iklan

Hafizh sedar, tetapi terdapat lebam. Apa pun masih di pusat perubatan untuk pemerhatian lebih lanjut, kata Razlan selepas kejadian itu.

Perlumbaan dipendekkan menjadi 13 pusingan selepas ia dimulakan semula. Sepanyol Jorge Martin (Red Bull KTM Ajo) terus memenangi perlumbaan.

Setelah permulaan musim yang perlahan di Qatar, Hafizh nampaknya tampil lebih baik dan berjaya mendapat dua penentuan 10 teratas sejak itu.

Iklan

Masih awal untuk mengatakan apakah beliau akan berlumba di Styrian GP, ​​yang juga akan diadakan di Red Bull Ring, minggu ini, kongsi Sinar Harian lagi.

Apa pun ramai warganet melahirkan simpati dan berharap keadaan Hafizh terus baik.

Doa SinarPlus semoga kesihatan Hafizh terus positif dan dapat meneruskan perlumbaan akan datang demi membawa nama negara ke peringkat antarabangsa. -AG