SEPANJANG tiga tahun penulis mengendalikan kolum Kisah Masyarakat, cerita wanita ini bersama tiga anak autisme paling menyentuh perasaan.

Sulit untuk membayangkan bagaimana Zarinah Zainal Abidin mengendalikan anak sulungnya, Mohd Azzakhirin Idris, 23, yang mengalami spektrum autisme tahap 3 (teruk), sementara Amal Darius, 14, dan Nur Laila Damia, 10, pula berdepan dengan autisme tahap 2 (sederhana).

Belum lagi membuka bicara, nada wanita berusia 45 tahun itu sudah bergetar. Namun, perlahan-lahan beliau menuturkan kata-kata.

Dengan tangisan yang jelas kedengaran di corong telefon, Zarinah berkata, Mohd Azzakhirin atau manja dipanggil Aki mempunyai tingkah laku yang agresif sehingga boleh mencederakan diri sendiri dan orang lain.

anak autisme

Ketika kecil, ciri-ciri autistik anaknya sudah kelihatan apabila beliau tidak boleh bercakap dan mengalami kecelaruan neurologi pada usia 18 bulan. Seperti kanak-kanak autisme lain, Aki seperti berada di dunianya tersendiri.

“Bila saya bawa Aki ke klinik, mereka panjangkan kes ke sebuah hospital di Kuala Lumpur pula. Bayangkan lebih tujuh tahun lamanya, barulah pakar mengesahkan Aki ialah anak istimewa,” katanya yang menetap di Taman Tuanku Ampuan Najihah, Sungai Gadut, Senawang, Negeri Sembilan.

 

Memikirkan jarak yang jauh untuk berulang-alik, ditambah suami yang diberhentikan kerja, membuatkan ibu kepada enam anak itu meminta kes anaknya dipindahkan ke Seremban.

“Keadaan mental Aki semakin memburuk ketika usianya 15 tahun. Aki mula memberontak, menjerit setiap malam sehinggakan jiran terpaksa memanggil polis.

“Lagi teruk, dia pukul adik-adik tanpa belas kasihan. Hati saya bagai ditusuk apabila terpaksa mengikat kaki Aki menggunakan selimut sebelum dibawa ke unit kecemasan kalau hal itu berlaku,” katanya.

autisme

Selepas merentas beberapa situasi mencemaskan, akhirnya pakar memutuskan bahawa remaja itu sewajarnya diberikan ubat penenang dan mendapat rawatan psikiatri secara berkala.

Bimbang tapi reda

Tanpa disangka, saat sibuk menguruskan Aki, anaknya Amal Darius atau disapa sebagai Darius dan Nur Laila Damia (Yaya) juga dikesan mewarisi genetik autisme.

autisme

“Masa Darius masih kecil, memang saya sudah nampak ada simptom sama seperti abangnya, namun saya butakan mata dan anggap dia normal kerana boleh bercakap.

“Namun, bila dia mengadu dibuli di sekolah disebabkan kawan-kawan mengejeknya suka mengulang cakap orang dan tak pandai jaga kebersihan, saya tersentak sekejap,” katanya.

autisme

Beritahu Zarinah, perbuatan rakan-rakan sebaya telah mengubah perwatakan Darius menjadi pendiam, alami depresi melampau dan menganggap dirinya tidak berguna lantaran sering dipinggir dan diperkecilkan.

“Atas nasihat doktor, saya bawanya untuk pemeriksaan lanjut. Alhamdulillah, sekarang ini dia sudah kembali ceria bersekolah di bawah program pendidikan khas integrasi bersama kawan-kawan istimewa dia yang lain,” tuturnya.

Baca juga Derita kanser limfoma tahap 4, ibu tunggal anak 5 dari Kedah risau kalau-kalau terpaksa ‘pergi dulu’

Pengisahan Yaya seterusnya membuatkan penulis tidak mampu lagi untuk menyeka air mata.

autisme

Iklan

Jika Aki dengan keagresifannya, Yaya lebih merungsingkan kerana si kecil itu selalu terdengar dan melihat benda ghaib.

Beliau juga selalu mencederakan diri sendiri seperti menghantukkan kepala ke dinding.

“Setiap kali dia ‘nampak’, Yaya akan bercerita tentang ketakutannya dengan saya. Mungkin disebabkan saya rapat dengannya, mudah sikit untuk memujuknya kalau dia mula buat perangai,” ujarnya.

autisme

Ketika menoktahkan cerita pilu tiga anak syurga itu, Zarinah tiba-tiba terdiam. Sekali-sekala penulis terdengar suara nyaring Aki dan adik-adiknya memecah keheningan.

Baca juga Lebih 10 tahun terlantar, tragedi lemas ubah hidup adik Ijul selamanya. Sebak lihat keadaan si kecil ini

Tatkala penulis memanggil wanita tabah itu, Zarinah seperti tersentak. Beliau berkata sesuatu yang sangat menyentuh perasaan: “Memikirkan tiga anak saya lahir sebegini dan tak sama dengan anak-anak lain, saya reda. Mungkin di dunia, kami diuji sebegini, insya-ALLAH, di alam sana, kami dianugerahkan kebahagiaan dan kegembiraan.”

“Doakanlah kami panjang umur untuk kami terus menjaga anak-anak ini. Jauh di sudut hati, saya dan suami memang bimbang bagaimana keadaan mereka jika kami sudah tiada, namun saya percaya ALLAH MAHA MENGASIHANI.”

autisme

Iklan

Seperkara, untuk membesarkan enam anak dengan tiga daripadanya abnormal, agak sukar untuk keluarga berkenaan.

Pendapatan si suami yang bekerja sebagai operator kilang sudah cukup menunjukkan kesusahan mereka.

“Rawatan psikiatri dan ubatan perlu dibuat setiap bulan. Bab makan, kami makan apa yang ada. Memang segan, tapi jika ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga untuk meringankan beban yang ditanggung, hanya ALLAH sahaja yang boleh membalasnya,” luahnya penuh sebak.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, dana kewangan boleh disalurkan terus ke akaun BSN 0511429856588446 atas nama Zarinah Bt Zainal Abidin.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang