MENDERITA sakit kanser payudara dengan ketiadaan suami di sisi dan pada masa sama membesarkan empat cahaya mata yang masih kecil menjadikan hidup seorang wanita tidak tentu arah.

Noor Hamiza Hang Tuah memberitahu SinarPlus, dirinya bagaikan sudah hilang semangat sebaik mengetahui barahnya sudah berada pada tahap tiga sejak dikesan pada Ogos tahun lalu.

Meskipun masih kurang bermaya selepas menjalani rawatan kemoterapi, namun Noor Hamiza tetap menjawab beberapa persoalan yang dilontarkan.

Suaranya agak perlahan di corong telefon, tetapi masih boleh didengari dengan jelas.
Menjelaskan bagaimana kansernya menular, ia bermula dengan benjolan yang muncul pada bahagian sebelah kiri dada yang difikirkan hanya bengkak susu.

kanser payudara

“Emak saya kata, kalau bengkak susu mesti rasa sakit, tapi saya tak mengalami masalah pun. Lagi satu, saya perasan anak bongsu tak berapa suka menyusu pada bahagian kiri. Dia pasti menolak. Masa itu saya dah mula fikir lain dah, tapi saya tak mahu serabutkan kepala,” ujar wanita itu yang menetap di Taman Kuala Krau, Temerloh, Pahang itu.

Pun demikian, lama-kelamaan ketulan itu dilihat semakin membesar. Malah, beliau menemukan satu lagi bengkak berhampiran kelenjar bawah ketiak.

 

Apabila berasakan situasi itu bagaikan satu ancaman, Noor Hamiza lantas mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan di klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Temerloh.

“Memang terdetik dalam hati akan berlaku sesuatu yang buruk, namun saya minta jauhkanlah sebab anak-anak masih kecil. Kalau ada apa-apa terjadi dekat saya, siapa nak jaga mereka? Namun, saya tak boleh buat apa kerana sudah disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga,” katanya dengan nada sayu.

kanser payudara

Ibu tunggal kepada empat anak yang masing-masing berusia dua, lapan, 10 dan 12 tahun itu mengakui, mental dan fizikalnya masih rapuh memandangkan beliau baru sahaja kehilangan suami tercinta, Mohd Shayuti Mohd Shamsuddin.

Arwah Mohd Shayuti meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung pada Oktober 2021. Lebih menyedihkan, Allahyarham rebah di atas sejadah di rumahnya selepas mengadu sukar untuk bernafas.

kanser payudara

“Bila pemergian itu berlaku di depan mata saya dan anak-anak, kami trauma. Bayangkan anak paling kecil alami kemurungan, tumbesaran terbantut, pemandangannya kosong dan tidak mampu bercakap sehinggakan dia terpaksa menjalani terapi.

Baca juga Derita kanser limfoma tahap 4, ibu tunggal anak 5 dari Kedah risau kalau-kalau terpaksa ‘pergi dulu’

“Itu sebab bila diberitakan saya sakit kanser, ia sesuatu yang amat memeranjatkan kami anak-beranak,” ujar wanita berusia 38 tahun itu.

kanser payudara

Ramai memahami

Sepatutnya pendekatan ini tidak harus dilakukan, namun demi menjaga anak-anak, Noor Hamiza menangguhkan dahulu rawatan awal yang disyorkan doktor.

Namun, setelah sekian lama, akhirnya guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 24 itu memulakan perawatan selepas sakit belakang pada badannya semakin tidak tertanggung.

kanser payudara

“Bila badan dah mula sakit-sakit, tangan tak boleh nak angkat lagi ditambah rasa terlalu nyeri yang tak boleh disorokkan lagi, saya terpaksa serah diri ke hospital,” ujarnya yang turut dikenali sebagai Cikgu Melor.

Pada saat itu, benjolan yang dikesan sudah berukuran 6 sentimeter (sm) dan semakin membesar menjadi 8sm.

Baca juga Anak meninggal dunia, nenek yang derita sakit jantung sanggup jaga 3 cucu sakit kanser otak, autisme dan lembam

Untuk mengecutkan sel kanser, Noor Hamiza perlu menjalani lima kali kitaran kemoterapi dan disarankan untuk mengambil ubat tambahan selama 12 kali kitaran.

Iklan

kanser payudara

“Doktor juga sarankan supaya saya menjalani rawatan radioterapi sebanyak 28 kali di Hospital Kuala Lumpur. Cuma sekarang ini perlu tunggu rawatan kemoterapi habis dulu.

“Jalan terakhir adalah pembedahan membuang ketulan itu tapi saya kena tunggu barah ini mengecut dulu,” katanya yang berulang-alik lebih lima kali ke hospital setiap bulan.

kanser payudara

Sebagai seorang guru, pastinya masa menjadi halangan utama kepadanya untuk ke pusat perubatan.

Mahu atau tidak, beliau terpaksa mengambil cuti sakit yang panjang. Pun demikian, Noor Hamiza mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah yang memahami keadaan dirinya dan anak-anak.

kanser payudara

“Saya bersyukur masih lagi ada kerja. Bukan mudah nak menyara anak-anak yang masih kecil dan masing-masing bersekolah lagi. Kos sara hidup sekarang pun semakin membebankan,” katanya.

Menjadi pesakit kanser payudara tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa kerana ia terkait dengan emosi dan psikologi pesakit. Kesabaran dan keimanan yang tinggi amat diperlukan oleh golongan itu.

Iklan

Hal berkenaan diakui oleh Noor Hamiza lebih-lebih lagi beliaulah bapa, ibu dan ketua keluarga.

kanser payudara

“Saya tak boleh katakan hidup yang saya lalui lancar. Banyak sebenarnya kekangan dan dugaan yang kami sekeluarga lalui, memang tak terucap dengan kata-kata.

“Kepada ALLAH kami berserah. Alhamdulillah, saya punya sistem sokongan keluarga dan kawan-kawan yang baik dan merekalah tempat saya bergantung harap,” katanya.

Demi membakar semangat Noor Hamiza untuk terus kuat, doa dan dana orang ramai amat diperlukan. Sumbangan seikhlas hati boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 156141452883 atas nama Noor Hamiza Binti Hang Tuah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang