Oleh ARZIANA MOHMAD AZAMAN DAN IZYAN LIYANA MOHD DARIF

IKLAN kemerdekaan Petronas yang ke-20 bertajuk Tan Hong Min In Love memberi impak yang cukup luar biasa.

Babak berdurasi satu minit 33 saat dan hanya memaparkan dua bintang cilik berusia tujuh tahun dilihat berjaya menyampaikan mesej keharmonian kaum dan kerukunan dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga kini.

Iklan yang disiarkan pada tahun 2007 itu antara lain menonjolkan watak Tan Hong Ming dengan penuh naif menceritakan kisah cinta pertamanya dengan rakan sekelasnya bernama Ummi Khazriena Skhrudin.

Cuba merahsiakan perasaannya terhadap orang yang dicintainya, arwah Yasmin Ahmad yang bertindak sebagai pengarah telah memanggil Ummi Khazriena untuk bertanyakan reaksinya terhadap Hong Ming.

Dengan wajah yang polos dan reaksi yang melucukan, kanak-kanak perempuan itu kemudian membuat pengakuan ikhlasnya.

Ternyata, watak-watak kecil yang ditonjolkan dan ekspresi ikhlas dua orang budak sangat terkesan untuk menyedarkan orang ramai bahawa perbezaan warna kulit, budaya dan agama bukan alasan memporak-perandakan perpaduan.

Pengakuan eksklusif
Diam tidak diam, sudah 13 tahun usia iklan berkenaan. Apa perkhabaran Hong Ming dan Ummi Khazriena?

Keinginan untuk mengetahuinya mendorong penulis mempertemukan semula pasangan ‘epik‘ iklan merdeka itu dalam satu sesi fotografi.

SinarPlus difahamkan, kali terakhir mereka berjumpa adalah pada Januari 2017 sempena fotografi sebuah akhbar tempatan.

Mereka menerima pelawaan kami. Bagaimanapun, disebabkan kekangan masa dan komitmen masing-masing, kedua-duanya datang pada hari berbeza di Studio Sinar, Shah Alam, Selangor pada awal Ogos lalu.

Dengan mengenakan seluar jean dan blaus warna biru, penulis hampir tidak dapat mengecam sosok tubuh Ummi Khazriena yang kini sudah berusia 20 tahun.

Ya, putaran masa yang sangat pantas membuatkan penulis perlu menerima hakikat, dirinya semakin dewasa dan nampak matang.

Tajuk perbualan kami pada tengah hari itu memang terarah kepada imbauan iklan merdeka yang masih terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia.

ummi khazriena
TRANSISI Ummi Khazriena yang kini sudah berusia 20 tahun dan berkhidmat dalam dunia penerbangan sebagai pramugari Malindo Air.

Sambil melirik senyum, Ummi meleraikan kisah yang ramai orang tidak tahu di sebalik iklan berkenaan. Akui gadis yang semakin anggun itu, pada awal pembikinan komersial itu, beliau tidak menyangka dirinya ‘berlakon‘ dalam iklan tersebut.

“Hong Ming panggil saya dari pintu belakang kelas. Masa tu kami darjah satu. Memang antara ramai kawan, dia paling rapat sebab kami kongsi hobi yang sama.

“Bila dia panggil, saya ikut saja dan tidak fikir apa-apa. Bila sampai, saya terpinga-pinga bila ada kamera dan ramai kru termasuk arwah Yasmin yang bertanya soalan kepada kami berdua,“ imbaunya yang membuat pengakuan eksklusif kepada SinarPlus.

Kata Ummi Khazriena, beliau sendiri langsung tidak tahu-menahu mengenai ‘sesi penggambaran‘ yang dijalankan sehinggalah iklan itu muncul melalui kaca televisyen pada sebelah malam.

“Tanpa raptai dan skrip, saya jawab soalan yang ditanya dengan jujur sebelum Hong Ming tarik tangan dan masuk ke kelas semula. Saya ingatkan semua itu hanyalah suka-suka saja.

“Bila muncul wajah saya dan Hong Ming, saya memang teruja dan panggil mak untuk tonton sama,“ ujarnya.

Adakah Ummi Khazriena dan Hong Ming memang betul-betul bercinta sehingga sekarang? Tatkala soalan itu diajukan, dengan senyuman manja beliau berkata: “Sebenarnya, boleh dikira dengan jari kami bersua muka. Kalau nak diikutkan, hanya jumpa jika ada sesi temu ramah dengan media atau dalam program tertentu.

“Seperkara, kami bersekolah sama-sama di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Tun Ismail 2 sekejap saja kerana selepas itu saya berpindah ke sekolah lain,“ katanya.

Tinggalkan seketika momen manis iklan penuh ‘legend‘ itu, penulis bertanya tentang perjalanan hidupnya selepas itu.

Tanpa berselindung, Ummi Khazriena berkata, selepas mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk mengejar cita-cita dalam bidang teater dan lakonan.

“Namun, dek masalah kewangan, saya terpaksa berhenti selepas lebih setahun berada di Aswara. Hati saya sangat berat, namun apakan daya,“ tuturnya lembut.

Enggan menoleh ke belakang, gadis jelita itu kemudian memberanikan diri dengan terjah ke dunia penerbangan sebagai pramugari Malindo Air.

Cerita Hong Ming
Hong Ming hadir ke Studio Sinar dengan penampilan yang bersahaja namun meyakinkan.

Anak muda yang kini masih bergelar pelajar juga mempunyai cerita tersendiri mengenai iklan yang memaparkannya sebagai watak utama.

“Ketika itu, cikgu saya minta saya keluar dari bilik darjah. Tertanya-tanya juga sebabnya, tetapi saya tak takut kerana yakin tak buat apa-apa kesalahan.

“Sebaik sahaja keluar dari kelas, saya dibawa ke satu sudut koridor sekolah yang menempatkan sekumpulan kru produksi. Kelihatan lensa video kamera pula tepat menghala ke arah saya sebelum aunty (arwah Yasmin) memulakan perbualan,“ tutur anak tunggal itu.

Beritahu Hong Ming, guru memilihnya atas permintaan Yasmin yang menginginkan murid berperwatakan ceria dan bijak berceloteh.

hong ming
KISAH cinta Hong Ming pernah mewarnai perjalanan cerita iklan Petronas sempena kemerdekaan pada tahun 2007.

“Saya sama sekali tidak menyangka bahawa komunikasi saya bersama Yasmin dirakam untuk menghasilkan iklan kempen sempena kemerdekaan,“ katanya sambil ketawa ketika menyorot kenangan silam bersama Ummi Khazriena.

Tambah jejaka berkaca mata tersebut, tatkala Yasmin mengusiknya tentang ‘soal cinta‘ dan teman wanita, beliau pantas menyebut nama Ummi Khazriena.

“Pelik juga kerana saya lebih selesa berterus terang dengan aunty, walhal sebelum ini saya simpan perasaan sendirian. Bukan apa, saya bimbang dan malu jika rakan sekelas lain tahu.

“Pun begitu, lucunya, rahsia itu bukan sahaja diketahui Ummi dan rakan sekolah, bahkan satu Malaysia kini sudah mengetahui isi hati ini.

“Selepas iklan itu disiarkan saya sangat teruja, maklumlah wajah keluar TV (televisyen). Tapi, lama-kelamaan terbit rasa malu apabila kawan-kawan asyik mengusik ‘kisah cinta‘ kami,“ luahnya yang mengagumi Ummi Khazriena yang disifatkannya berkeyakinan tinggi, cantik dan bersahabat tanpa memilih bangsa atau latar belakang.

Iklan

Soalan sama turut ditanya tentang hubungannya kini dengan Ummi Khazriena.

Berikut jawapan ikhlas Hong Ming: “Kami pernah terpisah apabila Ummi berpindah sekolah pada darjah limaa.

Pada waktu itu, memang putus hubungan dan tak tahu cara untuk menghubungi beliau.

“Sukar untuk menggambarkan perasaan dengan kata-kata. Saya terkejut dan sedih apabila berpisah dengan teman baik, tetapi menghormati keputusan keluarganya.“

Bagaimanapun, kesedihan yang menyelubunginya terubat selepas mereka bertemu semula pada sebuah majlis formal anjuran Petronas pada tahun 2014.

“Kegembiraan saya memang tidak boleh dinyatakan dengan perkataan. Selain bertukar-tukar nombor telefon, kami saling mengambil tahu perkembangan masing-masing menerusi Instagram.

“Meskipun kini kami baik, masing-masing sudah mempunyai laluan kerjaya sendiri, namun kami masih berkawan dan sentiasa bertanya khabar,“ katanya.

Patriotik
Jika Ummi Khazriena melebarkan sayap di awan biru, Hong Ming yang memiliki kepakaran melukis pula masih mengatur langkah dalam mengejar segulung ijazah.

Memandangkan impak iklan merdeka Petronas terhadap Hong Ming sangat besar, penulis bertanya, adakah beliau menerima tawaran berlakon iklan, drama atau filem?

Jujur katanya, tawaran itu memang ada namun beliau terpaksa menolaknya.

Ujar Hong Ming, buat masa ini, wang ringgit bukan keutamaan. Selagi masih muda, bertenaga dan berdaya, fasa pengajian perlu dilunaskan terlebih dahulu demi menyempurnakan impian ibu bapa.

hong ming
HONG MING (tiga dari kanan) berbangga dikelilingi sahabat daripada pelbagai bangsa, agama dan latar-belakang.

Beliau kini sedang menuntut dalam jurusan psikologi peringkat ijazah.

Iklan

Hong Ming berkata, dirinya seronok mempelajari dan mengenali karakteristik manusia di muka bumi ini yang memiliki personaliti dan ragam tersendiri.

“Ilmu psikologi turut membantu saya meningkatkan sifat empati dalam diri termasuk mempelajari teknik terbaik untuk berkongsi dan memahami emosi insan sekeliling.

“Secara tidak langsung, ia dapat mengelakkan diri berfikiran negatif seperti menilai seseorang daripada luaran tanpa mengetahui pucuk pangkal yang mendorong mereka berbuat demikian.

“Saya percaya dalam hidup bermasyarakat, keharmanonian itu mampu dicapai sekiranya kita mengamalkan sikap toleransi dan saling memahami,“ ujarnya bersulam kata-kata penuh patriotik sesuai dengan semangat kemerdekaan.

Mesej kemerdekaan

DILAHIRKAN dalam sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama menyuntik sisi kebanggaan dalam diri
Tan Hong Ming.

Kata pemuda itu, beliau yang dikelilingi sahabat daripada pelbagai keturunan sejak kecil, menyifatkan keamanan Malaysia dapat dikekalkan dari masa ke masa jika semua pihak bijak menguruskan kemajmukan sosial.

“Harapan saya, sempena Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini, semua rakyat akan sentiasa memupuk nilai-nilai
murni walaupun sedang merentas arus globalisasi yang serba mencabar sekarang.

“Jangan sesekali membiarkan dunia modenisasi mencemarkan hubungan baik antara keluarga, sahabat, jiran
tetangga dan sesama masyarakat,“ titip beliau menutup bicara kami pada pukul 3 petang, minggu lalu.

hong ming ummi
ANTARA babak-babak comel Ummi Khazriena dan Hong Ming dalam iklan kemerdekaan bertajuk Tan Hong Ming In Love 13 tahun lalu.

Bagi Ummi Khazriena pula, beliau yang berbangga menjadi ‘wajah‘ kemerdekaan pada suatu masa lalu, juga sependapat dengan rakan baiknya, Hong Ming.

“Sudah menjadi harapan saya untuk melihat negara yang kita sayangi ini semakin maju dan lebih banyak kemudahan yang boleh diakses oleh sesiapa tanpa mengira umur, bangsa, mahupun fahaman politik.

“Saya juga harap momentum perpaduan dan keteguhan masyarakat berbilang kaum di negara kita dapat terus
dikekalkan. Sebagai anak muda, kami juga mahu suara dan pandangan didengari demi kemajuan bersama,“
ujarnya penuh iltizam